Showing posts with label Cooking. Show all posts
Showing posts with label Cooking. Show all posts

Saturday, August 8, 2009

Resipi Majalah SEDAP Sambut Aidilfitri

Bagi umat Islam, bulan Ramadhan merupakan bulan bagi menjalankan kewajipan berpuasa bagi yang akil baligh dan sihat. Masih tinggal kurang dua minggu lagi umat Islam akan berpuasa. Tetapi, di majalah SEDAP, keluaran terkini yang baru hari ini memasuki pasaran memaparkan tema Aidilfitri. Advance tu!

Isu lepas memaparkan resipi-resipi sempena bulan Ramadhan. Jadi isu kali ini, bilangan #15 menghidangkan sajian istimewa bagi persediaan Aidilfitri pula.

Secara kasar, majalah SEDAP kali ini menyediakan hampir 90 jenis resipi untuk dicuba. Hampir 40 sajian dianggap sesuai untuk dijadikan hidangan istimewa sempena Aidilfitri. Sesungguhnya wajib dicuba kepada mereka yang ingin mencari sedikit kelainan bagi menjamu selera para tetamu tatkala raya nanti. Dengan variasi masakan yang digandingkan dengan ketupat dan tanpa ketupat, aneka kuih lazat, minuman segar dan puding lembut... satu kombinasi menu yang pasti menambat selera dan mempesonakan para tetamu dengan kelainan yang tuan rumah sediakan.

Satu lagi yang istimewanya keluaran kali ini... harga yang ditawarkan tetap RM5.50, seperti keluaran-keluaran sebelum ini. Berlainan sekali dengan lambakan majalah lain dalam pasaran yang mengambil kesempatan hari berperistiwa untuk meningkatkan harga, meskipun kandungannya turut ditambah.

Oh ya... bagi mereka yang masih mencari-cari resipi atau eBook pasal resipi, anda dialu-alu menjadi ahli di grup Resipi SEDAP di Facebook. Ada banyak tip dan eBook PERCUMA dikongsi di kalangan ahli grup.

Tuesday, June 23, 2009

SEDAP Dah Setahun!

Setahun
Tak sangka, pejam celik pejam celik, dah setahun usia majalah SEDAP di pasaran Malaysia. Rasa macam baru je pasarkan keluaran pertama.

Prestasi
Dari segi kandungan aku anggap ia amat memuaskan. Prestasi jualan dan sambutannya...? Emmm... dalam gawat-gawat ni, nampaknya aku tak boleh terlalu demand yang tidak masuk akal. Mana mungkin boleh menyaingi majalah resipi yang sedia ada dalam pasaran. Cukuplah yang seadanya....

Kekurangan
Tapi yang agak ralat sempena ulang tahun pertamanya, keluaran kali ini agak kurang terserlah dari segi warnanya. Malap sikit. Kenapa ya?

Penyelesaian
Versi original tidak memperlihatkan kemalapan ini. Agaknya kena jumpa si pencetak bagi memahami senario yang sebenar. Takkan versi Indonesia elok, versi Malaysia teruk. Versi Indonesia molek, versi Malaysia jelek. Tak aci lah! Malaysia boleh marr...!

Wednesday, July 9, 2008

SEDAP Menawan Rasa Menambat Selera

SEDAP - terbitan sulung yang kedua kini hangat dalam pasaran.

Sebab apa ya? Jawapannya mudah sahaja. SEDAP memiliki keunikan yang tersediri!

Antara yang istimewa dalam majalah SEDAP kali ini ialah:

1) Lebih 70 resipi lengkap dengan foto yang menawan (gambar yang SEDAP mata memandang dan juga hidangan yang SEDAP dimakan).

2) Lebih 80 pesanan, tip, info & petua masakan sebagai panduan (sesuai kepada para chef profesional mahu pun amatur - kepada makcik2, kakak2, adik2 dan pengantin baru; tiada alasan lagi untuk mengelak daripada masak sendiri).

3) Hampir 50 senarai KAMUS KITA bagi panduan dan rujukan tukang masak amatur (siap disertai gambar barangan dan info ringkas sebagai contoh. Apa itu 'Kicap Inggeris', 'Kicap Ikan' 'Kuey Tiaw Kering', 'Kuey Tiaw Basah' dan banyakkkkk lagi... terjawab melalui SEDAP kali ini).

4) Ruangan JALAN2 memaparkan hampir 10 jenis masakan istimewa di Pulau Bali (sesuai kepada mereka yang suka jalan-jalan ke negara jiran. Jadi tak payah nak risau mana nak makan rojak soto atau bakso. Di mana boleh dapat kuih bagiak yang sedap, atau pun jenang, selo, pisang salai, ayam Blambangan yang popular... sebab semua terjawab dalam SEDAP keluaran ini).

5) Harga di Semenanjung Malaysia masih kekal RM5.50 walaupun minyak petrol dah naik harga (penerbit kurang untung sikit takpe, asalkan pembaca puas hati membaca dan puas selera bila merasa hidangan yang telah dicuba).

Dapatkan senaskhah majalah SEDAP yang sesungguhnya paduan cita rasa dan seni kuliner yang sejati & sebenar (beza dengan tagline Radio 24 yang Sebenar, Semasa).

Saturday, June 14, 2008

Resipi SEDAP - Sedap Mata Memandang, Sedap Lagi Bila Dirasa

“Lepas waktu pejabat, kena masak untuk seisi keluarga lagi!” Ini merupakan rungutan yang biasa di kalangan wanita berkerjaya yang kurang berkemampuan menggaji pembantu rumah. Manakala bagi suri rumah sepenuh masa pula, kebiasaannya merungut tidak ada idea untuk menyediakan hidangan setiap kali tiba waktu memasak. Alangkah mudahnya kerja memasak jika ada yang sudi menunjukkan kaedah dan memberi cadangan agar kita dapat menyediakan sajian yang sedap, ekonomi dan menjimatkan masa untuk seisi keluarga.


Asal Usul Majalah SEDAP

Dengan terbitnya majalah SEDAP dalam pasaran, rungutan seumpama di atas dapat diatasi. Majalah bulanan bahasa Malaysia yang diadaptasi daripada majalah terbitan Indonesia ini telah berada di pasaran sejak bulan Jun baru-baru ini. Ia merupakan terbitan sulung syarikat penerbitan tempatan, Arena Media Tech Sdn Bhd dengan usahasama syarikat penerbitan gergasi Indonesia, PT Gramedia yang terkenal dengan akhbar Kompas beroperasi di Jakarta, Indonesia.

Kandungan Majalah SEDAP

Kandungan majalah menitik berat seni kuliner dan resipi yang telah diuji di dapur penerbit. Apa yang istimewanya majalah SEDAP selain menyediakan lebih 80 jenis resipi ini, ia juga padat dengan paduan pelbagai jenis masakan daripada kek, roti, biskut, lauk pauk, kuih-muih dan sebagainya.

Malah bagi suri-suri rumah tangga yang sering mengalami masalah untuk menyediakan hidangan harian untuk keluarga, ruangan ‘Menu Hidangan Bulanan’ yang memaparkan 16 cadangan menu pilihan sesungguhnya amat berguna. Resipi-resipi ini, selain telah diuji di dapur majalah Sedap terlebih dahulu bagi mendapatkan hasil dan rasa yang lebih tepat mengikut sukatan, ia juga diselitkan dengan foto warna-warni yang mempesonakan dan di samping tip dan pesan daripada chef untuk panduan pembaca.

Istimewanya majalah SEDAP jika dibandingkan dengan majalah masakan sedia ada dalam pasaran, selain daripada tip ringkas dari chef bagi setiap resipi yang dipaparkan, majalah SEDAP juga menyediakan ruangan ala-kamus bagi membantu mereka yang baru berjinak-jinak dengan seni memasak.

Selaku pengarang yang terbabit dalam penerbitan majalah SEDAP, Rosliza hassan juga telah mencuba beberapa resipi yang dimuatkan dalam majalah masakan ini sebelum proses penerbitannya. Beliau sendiri mengakui hidangan tersebut memang mudah disediakan selain ia sedap dan menepati cita rasa seisi keluarga

Dalam keadaan harga barangan yang semakin naik sekarang, ruangan ‘Resipi Ekonomi’ amat sesuai kerana ia memaparkan resipi yang menggunakan bahan-bahan yang murah dan menepati bajet pengguna.

“Biarpun murah, rasa hidangan tersebut masih tetap sedap,” jelas Rosliza.

Harga Pengenalan

Bagi yang berminat untuk mendapatkan majalah Sedap ini, kini ia ditawarkan dengan harga pengenalan iaitu RM5.50 senaskhah. Majalah ini boleh didapati dari mana-mana kedai buku atau majalah. Untuk sebarang pertanyaan pengedaran, bolehlah hubungi Cik Lim di bahagian pengedaran dan langganan Arena Media Tech di talian, (+603) 9222 8128. Malah bagi mereka yang ingin berinteraksi secara maya, boleh lawati blog atau forum blog majalah SEDAP atau e-mel ke majalahsedap@gmail.com.

Peluang Periklanan

Bagi syarikat yang ingin mengambil peluang memaparkan iklan atau mempromosikan produk mereka, boleh menghubungi wakil pengiklanan di Evergreen Publisher (+603) 9285 7375.