Saturday, October 10, 2009

Membakar Laut yang Biru di Angkasapuri?

Aku diberi kepercayaan oleh RTM untuk mendeklamasikan puisi dalam slot rancangan Hujung Minggu Malaysia, TV1, 7:30-9:30 pagi hari ini setelah Raihani Mohd Saaid memperkenalkan aku kepada pihak RTM.

Peluang beraksi di depan TV secara langsung telah aku gunakan sepenuhnya sebelum menghadiri mesyuarat di pejabat pagi tadi.

Masa kurang daripada dua hari setelah mendapat undangan dan kurang daripada 24 jam memperolehi naskhah bacaan di celah kesibukan rutin kerja harian tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak melakukan yang terbaik. Apa pun, pengucapan ada sedikit tercalar akibat daripada kelemahan sendiri yang hanya terkesan oleh sebilangan kecil penonton dan krew produksi, selain mendapat banyak kata semangat yang aku anggap sebagai pendorong untuk masa akan datang. Yang molek akan aku pertingkatkan, yang jelek akan kuperbaiki.

Justeru itu, melalui alam maya tanpa sempadan ini, aku ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Naskhah puisi yang aku deklamasikan ialah:
1) Membakar Bahtera karya A. Samad Said
2) Kembalikan Laut yang Biru karya Teo Wei Sing

Sesungguhnya aku amat menghargai kepada kedua-dua pengkarya tersebut kerana membenarkan aku membaca karya mereka.

Friday, October 9, 2009

Kembalikan Laut yang Biru

Dulu
laut itu biru
haiwan
tak apa
walau termangu saling bertanya
mereka tiada yang mengerti…

Dulu
laut itu biru
pokok bunga
tak apa
walau melongo saling melambai
mereka tiada yang mengerti…

Unggunan api dalam hati ini
hati insaniah ini
dikoyak-koyak lecur
dibakar-bakar renteng
kerana hanya kita yang mengerti
manusia yang mengerti
bila sejarah sudah berlumuran darah
dari mata darah berlinangan
duka juga menengadah
gelisah sudah patah suara
kaca dari diri aku dan kamu semua turut hancur pecah
jendela kedamaian juga mula retak
masih tak mengertikah?

Kawan-kawan
bangkit dan sedar
bukan masa mengayun pedang bermain nyawa
kawan-kawan
bangkit dan sedar
tangisan kedengaran menggores hati
kawan-kawan
bangkit dan sedar
kesayuan manusiawi kian ketara
kawan-kawan
bangkit dan sedar
laut kita dulunya kebiruan
luasnya seluas-luasnya
anak-anak tidak lupa bersuka
dulu
laut itu biru
tapi kini
laut biru makin kemerahan dicemari dengan rakusnya
dengan retaknya kerak bumi tercinta
dengan rekahnya lautan tanah terbelah
darah antara mangsa-mangsa tidak berdosa
dosa yang hanya meratapi kaca derita
derita khalifah Tuhan
Tuhan yang Maha Esa
ingat Tuhan yang Maha Esa
Ia telah murka
jangan sesekali menggali kemungkaran-Nya
tolong…
tolong…
tolong…kembalilah
dulu
laut itu biru
mereka itu tidak berdosa
kembalilah…

Karya: Teo Wei Sing

Catatan: Puisi di atas akan aku jadikan salah satu karya yang akan dideklamasikan pada rancangan siaran langsung di RTM esok (10-10-2009) melalui TV1 jam 7:30 - 8:30 pagi.
Satu lagi karya yang bakal kubaca ialah Membakar Bahtera karya A. Samad Said.

Membakar Bahtera

Maaf, bangkitlah. Janganlah tidur, Dayang Fina!
Bangsaku sedang terhumban dalam kawah dosa.
Bubur liur muntah kata penguncup bahasa
kini berterusan tercurah ke tekak bangsa.
Kita dihulurkan panji bergelumang nanah,
digesa agar ghairah menjulang setingginya.
Di bawahnya, kita disihir menjadi angka
bertandak serancak mengejek Akta Bahasa.

Tangan kuasawan yang berlinang billiona
melupuskan ekuiti bangsa seenaknya—
menyuburkan taman budaya wangsa penjajah,
membakar bahtera khazanah Dato Hang Tuah.
Usah lena lagi—usah, usah—Dayang Fina!
Wira harta terus mencemar istana kata,
menyihir murbawan jadi sekedar boneka
untuk lanjut angkuh meludah Akta Bahasa.

Kita sedang diasuh mendakap kepalsuan,
dalam senyap, menajisi benih kebenaran.
Hikayat hemah wajar bangat diulang baca
sebelum bangsawan sedar hikmahnya aksara.
Maaf, jangan lena, jangan lena, Dayang Fina!
Bangsa sedang gelupur dalam cekau kuasa.
Pendeta perlu cepat ganti gigi ke taring,
meraung senyilu nasib bahasa yang gering.

Maaf, kini tidur selenanya, Dayang Fina!
Cuma, jangan dilupai penakek bahasa.

30, 31 Ogos—3, Sept, 09. A. SAMAD SAID.

Catatan: Puisi di atas akan aku jadikan salah satu karya yang akan dideklamasikan pada rancangan siaran langsung di RTM esok (10-10-2009) melalui TV1 jam 7:30 - 8:30 pagi.
Satu lagi puisi yang bakal kubaca ialah Kembalikan Laut yang Biru nukilan Teo Wei Sing.