Showing posts with label Lumix. Show all posts
Showing posts with label Lumix. Show all posts

Sunday, August 17, 2008

Ekspedisi ke Pulau Pangkor bersama Panasonic

Minggu yang sibuk ini tak kan ceria dan menarik tanpa undangan daripada Panasonic Malaysia untuk ke Pulau Pangkor sempena pelancaran produknya selama dua hari satu malam. Produk yang dilancarkan di Hong Kong sebelum ini ialah 4 unit kamera digital dan 2 unit camcorder. Aku adalah antara 15 orang wakil media yang dijemput untuk menjadi saksi kepada pelancaran produk berkenaan. Sebelum cerita pasal produk, aku nak cerita sikit pasal tempat tinggal kami sebagai wakil media. Kami dibawa ke Pulau Pangkor seawal 7:00pagi pada 14 Ogos.

Perjalanan yang jauh dengan bas VIP Coach dan feri tentu sekali meletihkan. Tapi tempat tinggal yang menjadi destinasi idaman ramai orang di Pangkor Laut Resort (PLR) itu sememangnya melegakan dan merilekskan badan yang letih ini. Bilik yang selesa dan suasana semula jadi yang begitu indah melupakan hasrat aku dan teman sekamar untuk lepak atau tidur di balik, walaupun mempunyai lebih daripada 2 jam untuk berbuat demikian.

Sebaliknya aku sibuk posing maut dengan kamera digital baru LUMIX FX38 yang baru saja diberikan oleh Panasonic sebagai cederahati itu. Silap-silap orang boleh anggap aku ni sebagai model Lumix. Tak pun, model-model awek cun yang nampak aku dok asyik ambil gambar mesti jeles dan khuatir... khuatir aku rampas periuk nasi mereka. Ceh!

Seperti yang aku katakan, suasananya amat indah. Pemandangan di atas diambil melalui balkoni bilik aku bernombor 329 yang dinamakan sebagai Hill Villas. Pada mulanya aku musykil juga dengan nama-nama villa-villa di sini seperti Sea Villas, Beach Villas, Garden Villas dan Spa Villas. Ingatkan Hill Villas itu mengadap bukit bukau atau yang sewaktu dengannya. Rupanya tafsiran aku meleset setelah mengamati corak susunan kedudukan villa-villa yang lain. Hill Villas itu rupanya merujuk kepada perjalanan untuk ke villa tersebut yang menuntut penghuninya berjalan melintasi jalan yang berbukit bukau. Manakala, aku difahamkan yang tinggal di Garden Villas pula adalah yang berhampiran dengan pejabat pertadbiran (PLR) dan lobbi.

Tepat jam 5:30 petang, aku terpaksa melupakan sejenak pasal villa dengan nama-namanya. Lantaklah apa namanya asalkan suasananya selesa, panoramanya indah dan it's free anyway! Kumpulan wakil media seramai 15 orang ini telah dijadualkan untuk menikmati suasana senja di tengah laut dengan menaiki kapal cruise. Wow. Syoknya! Tapi, dalam gambar di atas... aku kat mana? Oppss... aku sedang merakamkan gambar dengan menggunakan model terbaru yang lain iaitu LUMIX LX3.

Sebelum bertolak ke laut, elok kami 'sekeluarga' ambil gambar kenang-kenangan. Foto ini dirakamkan dengan LUMIX LX3 dan aku pastikan diri berada di celah-celah orang ramai. Di samping 15 wakil media, dua orang lagi ialah Azizah (wanita berbaju warna marron di hadapan aku) dan Tony Endoh (lelaki berbaju warna kuning di tengah-tengah) daripada Panasonic. Mereka ni orang kuat Panasonic. Tanpa mereka, maka trip ini tanpa akulah gamaknya.

Di atas cruise, sebelum tiba ke destinasi yang dianggarkan 30 minit di tengah laut untuk menikmati suasana senja itu, aku dan rakan-rakan wakil media yang lain menyibukkan diri untuk mendapatkan gambar yang cantik dengan kamera masing-masing. Kesemua wakil media diberikan LUMIX LX3 untuk diujipakai. Tetapi pada ketika itu, Mahfooz (pertama berdiri belakang dari kanan) dari majalah CLICK! lebih selesa menggunakan kamera DSLR kepunyaan. Maklumlah, dia ni pro. Aku pun anggap dia ni sifu fotografi aku.

Apakah subjek yang diambil ketika di atas cruise itu? Selain daripada panorama yang indah di tengah perairan, tentu sekali tidak lengkap jika tanpa model yang menawan, seksi dan mesra. Yang duduk tu bernama Tania. Manakala yang berdiri tu bergelar Finaz. Dan kedua-duanya kini dah bergelar sebagai sahabat facebook ku!

Mereka tidak lokek senyuman. Malah aku turut dikhabarkan Finaz mabuk laut ketika penggambaran dijalankan tetapi beliau tidak menunjukkan ketidakselesaan di hadapan kamera. Begitulah gamaknya jika dah bergelar model profesional. Syabas Finaz!

Oh ya... rakan media aku dari majalah PC, Jalaluddin Abdul Rahman juga menceritakan dia dan Tony Endoh (lelaki berbaju warna kuning) juga berasa kurang sihat ketika berada di atas kapal. Gambar di atas dirakam dengan kamera digital LUMIX LX3. Kesan yang begitu menakjubkan adalah berkat ajaran Mahfooz. Thanks brother!

Setelah LUMIX LX3 memberi kesan penggambaran tahap profesional, aku juga ingin mencuba kesan penggambaran melalui LUMIX FX38.


[Cerita akan bersambung, Nikmati foto2 dahulu]


























Wednesday, April 9, 2008

Panasonic LUMIX FS5 dengan Teknologi iA

Jenama Panasonic yang lebih sinonim sebagai pengeluar peralatan elektrik konsumer di kalangan khalayak umum, kini mengorak langkah berani mempertaruhkan rangkaian kamera digital siri LUMIX. Salah satu produk kamera digital yang dilengkapi ciri-ciri istimewa dengan harga yang berpatutan (RM1,099) ialah model DMC-FS5.

Apa yang istimewanya kamera digital model FS5 yang terbaru ini selain daripada saiznya berukuran 94.9 x 53.4 x 22.5 milimeter yang sesungguhnya kompak, stylish dan mesra pengguna, ia juga menampilkan resolusi imej 10.1 megapixel yang dipadankan dengan lensa lebar bersaiz 30mm berjenama Leica DC (jenama lensa terkemuka dunia), 4x optical zoom dan skrin LCD berukuran 2.5 inci.

Kamera digital yang comel dan menarik ini diperhebatkan dengan keunikan penampilan fungsi mode Intelligent Auto (iA) yang bukan sekadar fungsi automatik semata-mata. Ini kerana dengan sokongan mode iA, penggunanya pasti akan berpuas hati dengan lima ciri baru seperti; fungsi-fungsi Mega O.I.S., Intelligent ISO Control, Intelligent Scene Selector, Face Detection dan Quick AF.

Teknologi iA tersebut menawarkan keistimewaan berikut:

1) Mega O.I.S. ditampilkan bagi mengatasi kesan gegaran tangan ketika merakamkan gambar.

2) Intelligent ISO Control ialah pengesan pergerakan bagi mengurangkan kekaburan imej.

3) Intelligent Scene Selector merupakan pengesan mode penggambaran yang kerap digunakan secara automatik seperti mode Portrait, Scenery, Macro, Night Portrait dan Night Scenery.

4) Sistem Face Detection ialah sistem pengesan wajah manusia agar gambar yang dirakam pada kedudukan dalam fokus secara automatik.

5) Sistem Quick AF merupakan pengesan cahaya yang membolehkan kamera fokus pada objek walau tanpa menekan secara perlahan butang shutter. Sistem ini memboleh rakaman gambar yang jelas dan menarik pada setiap masa.

Bila kamera berada dalam mode iA, ia membolehkan rakaman secara automatik dengan menghasilkan rakaman paling menarik walau bagi pengguna amatur sekalipun. Ia dapat menghindari pengguna daripada terlepas saat rakaman penting tanpa perlu risau tentang perubahan keadaan ketika rakaman dilakukan.

Menariknya lagi, kamera digital model FS5 turut menawarkan pemproses imej LSI berkelajuan tinggi generasi keempat dengan sokongan penggunaan Venus Engine IV. Digabungkan bersama fungsi Easy Zoom yang memboleh rakaman zoom dengan pantas melalui satu tekanan butang yang mudah. Mode Slideshow juga diselitkan dengan efek muzik latar ketika menonton rakaman yang telah dirakamkan. Kamera yang menggunakan kad memori storan SD dengan memori dalaman kira-kira 50MB ini didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu silver, hitam dan merah.

Saya diberi peluang ‘test-drive’ model ini di Pulau Langkawi baru-baru ini amat teruja dengan prestasi dan kehebatan model yang comel-lote ini dengan keupayaan yang setanding rakaman kamera profesional. Sesungguhnya pelbagai rakaman indah dirakamkan menggunakan teknologi iA dan lain-lain mode tatkala ekspidisi ke pulau legenda tersebut.

Maklumat lanjut untuk model-model terbaru siri LUMIX boleh juga diperolehi melalui laman sesawang www.panasonic.com.my/lumix.


Saturday, March 22, 2008

"Test-Drive" Kamera Panasonic di Pulau Langkawi

Pada 6 hingga 7 Mac yang lalu, aku bersama-sama satu team rakan media daripada pelbagai penerbitan telah diundang oleh Panasonic Malaysia ke Pulau Langkawi. Kami dilayan umpama tetamu kehormat, walaupun hakikatnya matlamat ke pulau legenda itu bukan untuk bercuti tapi bekerja - iaitu 'test-drive' rangkaian camcorder dan kamera digital Panasonic. Antara produk keluaran yang sempat aku 'try-acu-cuba-test-drive' ialah camcorder SDR-SW20 dan kamera digital DMC-FX36 & DMC-Fs5.

Sudut pandangan luar The Andaman Langkawi. (janganlah jelous!)

Kami berkampung di The Andaman Langkawi, sebuah hotel yang sesungguhnya cantik yang tak terhingga. Tak caya, layari gerbang sesawang hotel ni.

Saja aku posing maut depan papan tanda The Andaman, sebagai bukti aku dah ke sana dan nak show-off kat member sekampung.
(
Foto dirakamkan mengguna kamera digital terbaru Panasonic Lumix FS5).


Bukan setakat tempat tinggalnya yang cun-melecun, malah hidangan siang dan malam - lazat hingga teringin jilat bukan setakat jari, tapi kalau boleh jilat sekali pinggan mangkuknya. Nak kontrol macho punya pasal, setakat jilat sudu garpu je lah akhirnya.

Seluar yang aku pakai tetiba menjadi ketat selepas menikmati hidangan ini.


Tapi sayang seribu kali sayang... penganjur yang mampu merancang, cuaca yang menentukan! Ini adalah kerana program yang sepatutnya berjalan lancar telah tercalar oleh keadaan cuaca yang tak menentu. Apa tidaknya... pada hari pertama, kami dijadualkan untuk snorkeling kat persisiran pantai berhampiran pulau di Datai Bay, tapi gerimis punya pasal, aku terpaksa pulang tanpa berpeluang mencuba camcorder SDR-SW20 yang mempunyai keunikan tersediri, iaitu berupaya untuk berfungsi walau terjatuh pada ketinggian 1.2 meter dan mampu merakam video dan foto pegun di dasar air sedalam 1.5 meter (tengoklah sendiri video di YouTube ini kalau tak caya).

Sengaja aku rendam lama-lama camcorder SDR-SW20 ni dalam air laut, namun ia tetap berfungsi macam biasa bila aku cuba buat rakaman selepas itu.

Walau bagaimana pun, mujurlah pada hari kedua aku sempat merakamkan aktiviti di kolam renang yang digayakan oleh model-model yang didatangkan khas untuk sesi fotografi itu (entah ada tak member Muslim yang tertinggal solat Jumaat akibat khusyuk merakamkan aksi yang agak sukar disiarkan dalam media perdana?!).

Camcorder SDR-SW20 tanpa aksesori sokongan berupaya beroperasi dalam air sehingga 1.5 meter.

Manakala pada hari kedua, kami dijadualkan untuk menaiki kereta kabel bagi menikmati panorama Pulau Langkawi dari sudut pandangan udara. Setiap orang dibekalkan seunit kamera digital model DMC-FX36 untuk merakamkan detik indah di cecelah awan. Model tersebut merupakan satu-satunya kamera digital yang didatangkan dengan keupayaan lensa ultra-wide-angle 25mm. Selain daripada mempunyai fungsi berteknologi iA (Intelligent Auto), ia juga dilengkapi dengan sokongan 4X zoom optikal, skrin LCD 2.5 inci dan 10.1 megapisel. Bukan main syok lagi jika berjaya rakam gambar ala-profesional dengan kamera digital amatur ini. Namun demikian, impian tinggal impian sahaja! Sekali lagi acara terpaksa dibatalkan ekoran angin kencang dan hujan yang sukar diramalkan. Maka, kami dilabuhkan di Telaga Harbour di Pantai Kok Langkawi. Bersama-sama dalam team media, rakan media aku dari Utusan Malaysia, Wan Shahara Ahmad Ghazali yang turut serta mencatatkan pengalaman beliau seperti yang di bawah ini.

(Petikan artikel dari sisipan SIGAP - Utusan Malaysia, 22 Mac 2008, "Suasana Mediterranean di marina Telaga Harbour" Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI)

PENGUNJUNG Telaga Harbour boleh menikmati sarapan pagi dengan aman di The Loft sambil menikmati pemandangan indah marina Langkawi. (Foto dirakamkan mengguna kamera digital terbaru Panasonic Lumix FX36.)


MASIH ingat lagi kepada Datuk Azhar Mansor? Pelayar solo negara yang telah mencipta rekod dunia dan kini bertanggungjawab membangun dan mengurus marina Telaga Harbour di Pantai Kok Langkawi.

Pada 1999, beliau telah mengambil masa 104 hari untuk mengelilingi dunia secara solo tanpa henti sejauh 21,600 batu nautika menaiki kapal layar Jalur Gemilang.

Kejayaan itu membolehkan Azhar diiktiraf oleh Majlis Rekod Pelayaran Pecut Dunia (WSSRC) secara rasminya sebagai pencipta rekod dunia. Ini kerana beliau menggunakan laluan Eastabout yang masih belum pernah dilayari secara solo sebelum itu.

Sebagai satu-satunya pelayar dari Asia (kecuali Jepun) yang berjaya menempuh cabaran itu tanpa bergantung kepada orang lain, beliau telah meletakkan Malaysia di atas peta maritim sekaligus menjadi seseorang yang dihormati di kalangan khalayak maritim.

Kejayaan itu juga telah mengangkat namanya sebagai warganegara tersohor yang telah merealisasikan semangat 'Malaysia Boleh', slogan yang dipopularkan sejak pertengahan tahun 1990-an.

Seorang pemandu pelancong pernah berkata, di sebalik kejayaan besar penjelajahan Azhar, masih ada pihak yang memperlekehkan beliau dengan menganggapnya hanya bersantai menaiki kapal layar pelancongan mewah.

Tapi sebenarnya, Jalur Gemilang hanyalah sebuah kapal layar yang agak kecil dan mudah dilambung ribut. Kini kapal itu berlabuh di tapak khas marina untuk tontonan orang ramai.

Menurut pemandu pelancong itu lagi, kapal kebanggaan Malaysia itu kini hanya digunakan semasa Azhar mengajar kelas pelayar muda atau untuk perjalanan jarak dekat sekitar Langkawi sahaja.

Marina Telaga Harbour terbahagi kepada dua bahagian iaitu Perdana Quay (sebutan kee) dan Petronas Quay. Perdana Quay adalah salah satu pintu masuk ke Malaysia yang menempatkan pejabat kastam dan imigresen.

Pelancong asing yang singgah ke Malaysia melalui jalan laut kini boleh terus masuk atau meninggalkan Malaysia dengan mudah tanpa perlu ke jeti utama.

Di Petronas Quay pula, terdapat bangunan dua tingkat yang berseni bina menarik yang menempatkan kemudahan penting seperti stesen minyak Petronas dan bank. Di sini, pengunjung juga boleh menjamu selera di restoran makanan segera sambil menghirup udara segar sambil menikmati pemandangan marina yang indah dari tingkat dua.

Walaupun masih baru, pangkalan kapal layar tersebut kini telah popular sebagai salah satu marina persinggahan utama kapal-kapal layar peribadi dari seluruh dunia selain diuar-uarkan oleh beberapa majalah gaya hidup antarabangsa sebagai marina terbaik Malaysia.

Kedudukannya di timur pulau utama Langkawi juga menjadikannya lokasi romantik popular bagi pemilik kapal layar menikmati matahari terbenam sambil berlayar.

Selain faktor kepelbagaian tarikan dan keindahan kepulauan Langkawi, faktor keselamatan juga menyebabkan teluk buatan ini popular di kalangan pemilik kapal.

Ia telah direka sedemikian rupa supaya kedudukannya terlindung daripada ombak besar yang telah sedikit sebanyak membantu mengurangkan kerosakan semasa bencana tsunami 2004 yang lalu.

Gunung Mat Chincang, lokasi ereta kabel paling mencabar Asia Tenggara pula melindungi marina itu dari angin kencang dari arah utara.


NOTA:

Model: DMC-FX36 Harga: RM1,299.

Model: DMC-FS5 Harga: RM1,099.

Model: SDR-SW20 Harga: RM1,599.

Maklumat ringkas pasal kesemua model camcorder dan kamera digital keluaran Panasonic juga ditulis oleh rakan media dari NST, Aimie Pardas, yang juga turut serta dalam rombangan ke Pulau Langkawi.