Showing posts with label Puisi. Show all posts
Showing posts with label Puisi. Show all posts

Sunday, May 9, 2010

Apologi Buat Mama pada Hari Ibu di RTM

Setiap orang yang masih mempunyai ibu akan menyambut Hari Ibu yang jatuh pada 9 Mei 2010 dengan cara yang tersendiri. Sepanjang pengamatan saya ketika berjalan-jalan di pusat membeli belah mendapati ramai anak muda yang membawa orang tuanya untuk makan bersama. Ada juga dalam kalangan si bapa yang membeli beg tangan kepada si isteri sebagai hadiah.

Berbeza dengan saya. Ibu yang saya panggil mama berada di kampung. Banjaran Titiwangsa yang memisahkan kami tidak dijadikan alasan untuk tidak boleh menyambut Hari Ibu bersamanya. Saya meraikan Hari Ibu dengan cara yang istimewa tahun ini. :)

Saya mengambil peluang muncul di kaca TV nasional untuk meluahkan isi hati kepada mama melalui puisi. Khas buat mama, saya tulis puisi berjudul Epilog Apologi Buat Mama yang saya baca dalam rancangan Hujung Minggu Malaysia, TV1, RTM pada jam 8:30 pagi, 9 Mei 2010. Sekali gus, buat kali pertama juga saya 'menyumbangkan' suara dengan lagu Mandarin di hadapan jutaan khalayak penonton.


Epilog Apologi Buat Mama
Karya: Harlym Yeo

[Intro dengan lagu Mandarin 'Se Sang Ce You Ma Ma Hau']

Se sang ce you ma ma hau (世上只有妈妈好)
You ma ti hai ce siang ke pao (有妈的孩子像个宝)
Thou cin ma ma ti huai pau (投进了妈妈的怀抱)
Sing fuk siang pu liau (幸福享不了)

Kumandang kasih ibu
beralun melewati lagu itu
kuhayati dengan asyik
hatiku terusik

Di kejauhan ini
masih kuterasa bagaikan hangat dalam pelukanmu
walhal aku cuba sembunyi hangit kepalsuanku.

Maafkan daku, mama!

Kala daku taasuh menggapai kebijakan duniawi
sehingga terabai kebajikan famili
daku tidak pernah lupa nasihatmu
cuma sekadar alpa kerana desakan nafsu.

Maafkan daku, mama!

Kala bergelumang dalam gelombang hidup
memilih jalan sendiri tanpa restumu
pesananmu di hati sentiasa terukir
namun insan kerdil ini tak bisa melawan takdir.

Maafkan daku, mama!

Kala kuberseloroh seolah riang
tapi memberontak dalam diam
kerap berdusta dalam gurau senda
Merintih pedih perih dalam dunia sesumpahku
Sampai bila… aku sendiri pun tidak mahu tahu!

Maafkan daku, mama!

Kala perasaan ini diulit rindu tak berbingkai
gugusan harapan dan doa terangkai
agar epilog apologi ini akan terungkai.

Untuk kesekian kalinya
Maafkan daku, mama!
Publish Post



07 Mei 2010
Kuala Lumpur


CATATAN:

Lagu 'Se Sang Ce You Ma Ma Hau' di
http://www.youtube.com/watch?v=Fx6APEO3QeM&feature=related

Maksud lagu:
Ibulah yang terbaik di dunia ini
Anak yang mempunyai ibu bagaikan harta karun
Apabila berada dalam pelukan ibu
Kebahagiaan tidak terkata

Monday, May 3, 2010

Langkah Kejayaan di RTM

Hari Ahad berlalu dengan cepat apabila seawal 7:00 pagi saya harus berada di perkarangan Wisma TV, Angkasapuri, RTM, Kuala Lumpur untuk bersiap sedia bagi rakaman siaran langsung rancangan Hujung Minggu Malaysia (HMM), TV1.

Saya dijemput untuk menyerikan slot deklamasi puisi sempena Hari Pekerja. Untuk slot puisi pertama sebagai mukadimah rancangan tersebut yang dikeudarakan pada jam 7:31 pagi, saya memilih karya Sofya yang berjudul Langkah Kejayaan. Manakala slot puisi kedua yang dilangsungkan pada jam 8:45 pagi, pilihan saya ialah karya Goenawan Mohamad berjudul Lagu Pekerja Malam.

Apa yang tidak disangkakan adalah apabila berpeluang bersua muka dengan jutawan internet, Doktor Irfan Khairi yang menangani slot motivasi selepas 10 minat slot puisi saya. Sempat lagi saya merakamkan gambar kenangan sebelum beliau meninggalkan tempat rakaman ke acara yang lebih penting.

Selain itu, sebelum meninggalkan pekarangan RTM, saya mengambil kesempatan menumpang aura orang-orang hebat dengan bergambar bersama penerbit penyelaras RTM dan salah seorang pengacara HMM - Mispiah Karsahid (berbaju ungu - eh, sama warnalah dengan baju batik saya!) dan Jessica Ong (berbaju jingga).

Rasanya hari Ahad kali ini membayangkan langkah kejayaan saya kerana berpeluang menumpang glamour dengan orang-orang yang berpengaruh. Secara kebetulan, salah satu tajuk puisi yang baca juga bertajuk Langkah Kejayaan.

Berikut ialah puisi-puisi yang saya baca:


LANGKAH KEJAYAAN
Karya: Sofya

Hari ini
sama-sama kita lewati...
untuk beberapa tahun dahulu...
dan untuk beberapa tahun lagi....

Kita larik mimpi... yang panjang...
kita susun langkah... yang berderapan...
kita hitung hari-hari... yang mendatang...
kita pupuk tekad... yang utuh...
kita gapai bintang... yang gemerlapan....
kita sentuh bulan... yang tersenyum...
kita kucup kejayaan... yang menjelang...

kini kita...
bertandak mengikut rentak dan irama...
menghayun langkah seiringan
dengan cebisan azam
yang terlafaz dari awal...
kita sudahkan...
kita lengkapkan..
kita tunaikan...
kita kotakan..

dan kini pasti....
bintang di gengaman..
bulan jatuh ke riba....
mimpi tetapkan sudah...
langkahkan kehadapan...
janji dikota...
kejayaan...senyum pada kita


LAGU PEKERJA MALAM
Karya: Goenawan Mohamad

Lagu pekerja malam
di sayup-sayup embun
Antara dinamo menderam
Pantun demi pantun

Lagu pekerja malam
Lagu padat damai
Lagu tak terucapkan
Jika dua pun usai

Tangan yang hitam, tangan lelaki
Lengan melogam berpercik api
dan batu pun retak di lagu serak:
Majulah jalan, majulah setapak

Nada akan terulang-ulang
dan lampu putih pasi:
Panjang, alangkah panjang
Dini hari, o, dini hari!

Lagu pekerja malam
Lagu tiang-tiang besi
Lagu tak teralahkan
Memintas sepi

[1962]

Saturday, May 1, 2010

Pertanyaan Si Anak Kecil - Malam Puisi Riong Shah Alam


Malam Puisi Riong Shah Alam, Selangor semalam memberi pengalaman berharga kepada saya sebagai peminat seni puisi Melayu daripada kalangan bukan keturunan Melayu. Dan saya berbangga menjadi satu-satunya peserta bukan Melayu dalam program puisi bertemakan Wasilah Cinta Pencipta dan Manusia yang berlangsung di Laman Budaya, Taman Tasik Shah Alam, Selangor.

Menerusi karya tulisan Irma daripada Majalah Dewan Sastera (Mac 2010) berjudul 'Pertanyaan Si Anak Kecil', saya menjadikan penglibatan kali ini sebagai medan mengakrabkan diri dalam dunia puisi anjuran bersama Unit Sastera, Berita Harian dan Majlis Bandaraya Shah Alam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.


Pertanyaan Si Anak Kecil


Anak kecil itu bertanya
kita hidup sampai bila
masing-masing geleng kepala
susah untuk meneka bilakah ajal akan tiba.

Ada yang kata
logik akal orang tua berhijrah dahulu ke alam baka
mereka hidup sudah lama
sudah puas bergelumang noda.

Usah difikirkan dosa dan pahala
nanti terbengkalai semua kerja
pintu taubat sentiasa terbuka
tunggulah dahulu sementara masih bertenaga.

Anak kecil masih bertanya
kenapa ramai yang tidak sayang nyawa
di jalan raya, di rumah pangsa atau di mana saja
jadi tempat mengambil nyawa
secara paksa atau sukarela.

Anak kecil itu terus bertanya
zaman sekarang zaman siber
tidak bolehkah ditangguhkan kematian
tidak bolehkah diputar roda kehidupan
segala pakar pengemudi teknologi
dari hari ke hari mencari pelbagai teori
tapi ada perkara sukar diramal
hidup, mati, jodoh pertemuan
melengkapi putaran hidup anak Adam.

Irma
Dewan Sastera (Mac 2010)


Nota:
Gambar-gambar sekitar Malam Puisi Riong Shah Alam di http://tinyurl.com/PuisiRiong
Liputan sebelum acara di Berita Harian.

Saturday, October 10, 2009

Membakar Laut yang Biru di Angkasapuri?

Aku diberi kepercayaan oleh RTM untuk mendeklamasikan puisi dalam slot rancangan Hujung Minggu Malaysia, TV1, 7:30-9:30 pagi hari ini setelah Raihani Mohd Saaid memperkenalkan aku kepada pihak RTM.

Peluang beraksi di depan TV secara langsung telah aku gunakan sepenuhnya sebelum menghadiri mesyuarat di pejabat pagi tadi.

Masa kurang daripada dua hari setelah mendapat undangan dan kurang daripada 24 jam memperolehi naskhah bacaan di celah kesibukan rutin kerja harian tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak melakukan yang terbaik. Apa pun, pengucapan ada sedikit tercalar akibat daripada kelemahan sendiri yang hanya terkesan oleh sebilangan kecil penonton dan krew produksi, selain mendapat banyak kata semangat yang aku anggap sebagai pendorong untuk masa akan datang. Yang molek akan aku pertingkatkan, yang jelek akan kuperbaiki.

Justeru itu, melalui alam maya tanpa sempadan ini, aku ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Naskhah puisi yang aku deklamasikan ialah:
1) Membakar Bahtera karya A. Samad Said
2) Kembalikan Laut yang Biru karya Teo Wei Sing

Sesungguhnya aku amat menghargai kepada kedua-dua pengkarya tersebut kerana membenarkan aku membaca karya mereka.

Friday, October 9, 2009

Kembalikan Laut yang Biru

Dulu
laut itu biru
haiwan
tak apa
walau termangu saling bertanya
mereka tiada yang mengerti…

Dulu
laut itu biru
pokok bunga
tak apa
walau melongo saling melambai
mereka tiada yang mengerti…

Unggunan api dalam hati ini
hati insaniah ini
dikoyak-koyak lecur
dibakar-bakar renteng
kerana hanya kita yang mengerti
manusia yang mengerti
bila sejarah sudah berlumuran darah
dari mata darah berlinangan
duka juga menengadah
gelisah sudah patah suara
kaca dari diri aku dan kamu semua turut hancur pecah
jendela kedamaian juga mula retak
masih tak mengertikah?

Kawan-kawan
bangkit dan sedar
bukan masa mengayun pedang bermain nyawa
kawan-kawan
bangkit dan sedar
tangisan kedengaran menggores hati
kawan-kawan
bangkit dan sedar
kesayuan manusiawi kian ketara
kawan-kawan
bangkit dan sedar
laut kita dulunya kebiruan
luasnya seluas-luasnya
anak-anak tidak lupa bersuka
dulu
laut itu biru
tapi kini
laut biru makin kemerahan dicemari dengan rakusnya
dengan retaknya kerak bumi tercinta
dengan rekahnya lautan tanah terbelah
darah antara mangsa-mangsa tidak berdosa
dosa yang hanya meratapi kaca derita
derita khalifah Tuhan
Tuhan yang Maha Esa
ingat Tuhan yang Maha Esa
Ia telah murka
jangan sesekali menggali kemungkaran-Nya
tolong…
tolong…
tolong…kembalilah
dulu
laut itu biru
mereka itu tidak berdosa
kembalilah…

Karya: Teo Wei Sing

Catatan: Puisi di atas akan aku jadikan salah satu karya yang akan dideklamasikan pada rancangan siaran langsung di RTM esok (10-10-2009) melalui TV1 jam 7:30 - 8:30 pagi.
Satu lagi karya yang bakal kubaca ialah Membakar Bahtera karya A. Samad Said.

Membakar Bahtera

Maaf, bangkitlah. Janganlah tidur, Dayang Fina!
Bangsaku sedang terhumban dalam kawah dosa.
Bubur liur muntah kata penguncup bahasa
kini berterusan tercurah ke tekak bangsa.
Kita dihulurkan panji bergelumang nanah,
digesa agar ghairah menjulang setingginya.
Di bawahnya, kita disihir menjadi angka
bertandak serancak mengejek Akta Bahasa.

Tangan kuasawan yang berlinang billiona
melupuskan ekuiti bangsa seenaknya—
menyuburkan taman budaya wangsa penjajah,
membakar bahtera khazanah Dato Hang Tuah.
Usah lena lagi—usah, usah—Dayang Fina!
Wira harta terus mencemar istana kata,
menyihir murbawan jadi sekedar boneka
untuk lanjut angkuh meludah Akta Bahasa.

Kita sedang diasuh mendakap kepalsuan,
dalam senyap, menajisi benih kebenaran.
Hikayat hemah wajar bangat diulang baca
sebelum bangsawan sedar hikmahnya aksara.
Maaf, jangan lena, jangan lena, Dayang Fina!
Bangsa sedang gelupur dalam cekau kuasa.
Pendeta perlu cepat ganti gigi ke taring,
meraung senyilu nasib bahasa yang gering.

Maaf, kini tidur selenanya, Dayang Fina!
Cuma, jangan dilupai penakek bahasa.

30, 31 Ogos—3, Sept, 09. A. SAMAD SAID.

Catatan: Puisi di atas akan aku jadikan salah satu karya yang akan dideklamasikan pada rancangan siaran langsung di RTM esok (10-10-2009) melalui TV1 jam 7:30 - 8:30 pagi.
Satu lagi puisi yang bakal kubaca ialah Kembalikan Laut yang Biru nukilan Teo Wei Sing.

Thursday, September 17, 2009

Salam Aidilfitri

Ramadan berlalu Syawal menjelang,
Ucapan salam Aidilftri mulia kulayang,
Moga lebaran disambut dengan keazaman,
Eratkan hubungan, rapatkan jalinan.

Maaf Zahir & Batin

Ucapan: "Copyright © 2009 HarlymYeo. All rights reserved."
Grafik: "Copyright © 2007 Awangpurba. All rights reserved."

Wednesday, October 1, 2008

Salam Aidilfitri

Dulu-dulu kita sering menghantar kad ucapan bila tiba musim perayaan. Sekarang nampaknya tradisi menghantar kad semakin terhakis dek kemudahan teknologi seperti MMS, SMS dan e-mel. Ramai yang tak main hantar-hantar kad lagi. Kalau ada pun, mungkin kerana tuntutan korporat saja. Walau bagaimana pun, ia tetap menyumbang kepada matlamat yang sama, iaitu mengeratkan silaturahim antara insan atau organisasi.

Sejak wujudnya kemudahan teknologi ni, aku jarang menghantar kad raya kepada kekawan. Ikhlas cakap, hantar sms lebih cepat, berhemat dan berjimat! Seawal jam 8 pagi tadi, aku telah menghantar lebih 50 sms kepada kekawan terutamanya yang jarang bertemu. SMS tersebut berbunyi begini:

Salam Aidilfitri kulayangkan.
Maaf zahir batin bukan sekadar slogan tahunan.
Kujadikan ia sebagai ucapan penuh keikhlasan.
Agar silaturahim antara kita akrab berkekalan.


Ramai yang tidak balas. Tapi tak apa. Aku tak kecil hati. Aku faham, barangkali mereka sibuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Tapi dah lebih 12 jam... masih tak terima balasan mereka. Aku tetap redha, kerana barangkali mereka sibuk melayan tetamu. Tak pun mungkin sedang khusyuk melayan siaran televisyen yang tak kurang bestnya.

Antara SMS yang kuterima dan kuanggap unik adalah seperti yang di bawah:

"Salam Aidilfitri. alhamdullillah kita berhari raya lagi. Tahun depan tidak pasti. Lantaran itu, atas keterlanjuran kata dan tindakan, dimohon kemaafan. Termakan terminum, pohon halalkan. Di usia yang berbaki ini, jalinan persaudaraan bersama kita peliharai."
Daripada Habsah Hassan

"Walau langkah tak bertemu. Tangan tak berjabat. Ucap tak terdengar. Tapi izinkanlah hati memohon maaf. Semoga syawal menjelma menyucikan rohani di sanubari. Salam Aidilfitri. Maaf Zahir Batin."
Daripada Ogy Ahmad Daud

"Selamat hari raya. Ingat, di pagi lebaran - lebarkan senyuman, bukan lebarkan badan. Maaf zahir batin."
Daripada Raihani Saaid

Saturday, September 13, 2008

Seloka Kata Mengata

Kerana nak menang kerusi dewan
sanggup bersahabat dengan yang bukan-bukan
sesama agama sebangsa insan
ditanam semangat bermusuh-musuhan.

Dicari pula cacat dan cela
dalam ceramah kata mengata
diberi gelaran bermacam rupa
untuk dijadikan bahan ketawa.

Sekarang dah timbul gelaja baru
jemput bersyarah demand beribu
tiket kapal terbang mesti kelas satu
nak tidur hotel yang ada kelambu.

Bila bersyarah kata kat orang
dihasutnya suruh jadi pembangkang
hendak ditukar pemimpin sekarang
Allah tak izin jatuh terlentang.

Sepatutnya rakyat diberi penjelasan
bandingkan kita dengan negara jiran
berpuluh ribu dok tunggu giliran
hendak ke mari untuk cari makan.

Ramai perempuan ditakdirkan janda
disuruh pula jangan dok bekerja
balik kampung pun keluarga dah tua
anak yatim siapa nak bela.

Ibu tunggal pula rasa terhina
nak pi kerja serba tak kena
tak bekerja anak ada lima
duit simpanan pun dah habis lama.

Berfikir dahulu sebelum berkata
demikian madah para pendita
sebab tu Allah jadikan kita
satu sahaja mulut telinga dua.

Kepada semua tetamu Allah
menunaikan haji serta umrah
di Tanah Suci Kota Mekah
selamat pulang berserban berjubah.

Bila diteliti kembali artikel di atas yang aku ambil daripada majalah GILA-GILA keluaran 15 April 1999 tulisan CGM ini, ia seolah-olah masih relevan dengan keadaan sosio-politik kita kebelakangan ini. Untuk itu, jangan terperanjat jika berlaku sekali lagi tumpuhan darah antara kaum seperti tragedi 13 Mei 1969 dulu - gara-gara 'rosak santan kerana pulut, rosak badan kerana mulut'! Apa pun, aku harap ia tidak berlaku. Nikmati dan hayatilah keharmonian sedia ada. Jangan gaduh-gaduh sesama kita. Jauhkan tuduh menuduh sesama insan. Apalagi hina menghina. Ikhlas aku nak sarankan; yang belum kahwin tu, carilah pasangan berlainan agama, kaum dan latar belakang. Moga dapat saling menghormati adat dan budaya insan lain. Corakkan kestabilan negara daripada rumah. Tak gitu?

Wednesday, September 3, 2008

Seloka Bulan Puasa

Teringat zaman masih muda-muda dulu (sekarang pun masih lagi muda), majalah Gila-Gila merupakan wadah hiburan dan humor. Malah bila tiba musim raya di kampung, tak sah raya kalau tak ada naskhah bumper isu hari raya Gila-Gila. Sekarang... aku dapati aura Gila-Gila zaman kegemilangannya dah pudar. Malah seolah-oleh telah hilang dimakan usia. Kini, kandungan dan satiranya tidak segah dulu. Cuba lihat dan baca sendiri artikel yang aku petik daripada majalah Gila-Gila keluaran 488, 1 Januari 1999 karya CGM bertajuk Seloka Melayu Raya.


Tahun hijrah, bulan sembilan
Menjelma oula bulan Ramadhan
Diperintah berpuasa oleh uhan
Menahan diri minum dan makan

Bulan Ramadhan bulan mulia
Terukir banyak pelbagai peristiwa
Al Quran diturun bulan tu juga
Lailatul qadar malam bahagia

Hari mula nak sambut puasa
Penyakit gastrik menyerang semula
Sakit perut dan sakit kepala
Waktu malam susah nak jaga

Bangun sahur cukuplah seksa
Bunyi jam gerak masih tak jaga
Sampai kena percik air kat muka
Nak pi makan jalan meraba

Ada yang puasa kira dok ludah
Keliling rumah macam nak bah
Berjalan sikit jira nak rebah
Bini tanya sikit kira nak marah

Pi kerja berjalan tak larat
Pegang pen terasa berat
Pelupuk mata tak lalu nak angkat
Orang nak arah ke timur dia ke barat

Duduk di rumah kira nak lena
Tak boleh suruh pi mana-mana
Buat apa pun serba tak kena
Macam kucing beranak lima

Ada pula dok hitung masa
Dari subuh ke waktu senja
Perut kempeh tekak dahaga
Mata dan mulut kenalah jaga

Ada yang puasa tak sembahyang
Itu betapa di waktu siang
Islam agama sembahyang tiang
Tanpa tiang rumah kan hilang

Dekat nak buka sibuk sekali
Beli juadah plastik penuh jari
Rasa nak minum air satu baldi
Nak hisap rokok, tak henti-henti

Yang paling sibuk restoran dan kedai
Dulu terbuka sekarang bertirai
Jual roti canai dan roti kirai
Tak dengar langsung ketawa dan hilai

Ada pula warung di dalam hutan
Tempat berhimpun manusia dan syaitan
Bila selesai minum dan makan
Tiba di rmah macam nak pengsan

Ada juga empat lima orang
Sewa bilik hotel duduk bersembang
Hidangan cukup nasi ayam panggang
Balik ke rumah pada waktu petang

Ada yang tak malu tak jaga maruah
Bulan puasa pun dia taj berubah
Pelbagai alasan seribu masalah
Jangan dok loyar buruk dengan Allah

Sesetengah pula pandai bersandiwara
Di rumah puasa di luar dia buka
Pulang ke rumah waktu senja
Lebih kalut daripada orang berpuasa

Kerajaan kita memang dok jaga
Maruah Islam di seluruh negara
Kedai makanan Islam dilarang buka
Mana yang engkar dikenakan denda

Tu pun ada orang yang berani
Masuk kedai makan waktu tengah hari
Kena tangkap bawa cawan kopi
Naik kereta mayat pi kat tok kadi

Bulan Ramadhan sebualan berpuasa
Menanhan lapar dahaga
Ada juga seorang dan dua
Bertambah gemuk menjelang raya

Walau apa pun tabiat manusia
Bulan Ramadhan wajib dimulia
Di sisi Allah sama sahaja
Tak kira miskin ataupun kaya

Allah melihat setiap perbuatan
Terutama sekali bulan Ramadhan
Jauhilah diri hasutan syaitan
Semoga ibadat diberkati Tuhan



Saturday, August 30, 2008

Corat-Coret di Malam Apresiasi Puisi & Seni Budaya di MPAJ

Duduk di sebelah kiri aku itu ialah Dato' Dr Haji Ahmah Kamal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Kemala di kalangan orang sastera. Beliau merupakan orang pertama membuka tirai membaca puisinya sendiri bertajuk "Bari Benua Cinta Penyair ke Tanah Bertuah Bangsa" yang pernah tersiar di Dewan Budaya Mei 2007.


Dengan karyanya yang bertajuk "Nazam Hari Guru", Siti Raihani Mohd Saaid adalah antara yang awal mempersembahkan nazamnya. Tetapi sebelum itu, Adik Nur Syahirah Mattaib juga bernazam, dan secara tak sengaja aku terkesan nazam Adik Syahirah kebetulan mempunyai sedikit persamaan dengan nazam Raihani yana mana rangkap itu telah dikeluarkan semasa Raihani menyampaikan nazamnya.

Maitili a/p Muniyandy adalah satu-satunya deklamator berketurunan India pada malam itu yang mendeklamasikan sajak Usman Awang bertajuk "Tanah Air".

"Ingatlah. betapa sekali kita merdeka, bukan bererti kita merdeka buat selama-lamanya. Berjuanglah... biarpun terpaksa bermandikan darah dan air mata, agar tanah pusaka ini tidak akan dijajah semula," demikian sebahagian daripada skrip pidato karya Azerai Azmi yang dideklamasikannya ala sajak bertajuk "Menghayati Kemerdekaan Negara Separuh Abad". Khabarnya Azerai ialah seorang guru yang mengajar subjek Sains di SK Pandan Indah.


Tepat jam 10:45 malam, tiba giliran aku memperagakan rentakku dengan penuh gaya yang over (seperti biasa) dengan puisi karya Bonda Zurinah Hassan berjudul "Rumah Merdeka". Sayangnya pada ketika itu puteri bondaku yang telah mendeklamasikan nazamnya satu jam lebih awal tak sempat menonton persembahanku kerana terpaksa pulang lebih awal.

Sebagai penutup acara, penganjur dan semua tetamu jemputan dipelawa ke pentas bersama-sama menyanyikan lagu "Jalur Gemilang" dan "31 Ogos" pada kira-kira jam 11:45pm. Walaupun jam dah hampir tengah malam, masih kelihatan ramai orang berada di dewan. Syabas KALAM dan mereka yang menganjurkan acara seumpama ini. Siap ada cabutan bertuah lagi. Antara nombor bertuah ialah 198 - nombor akulah tu!. Tahun depan hadiah utama kalau bagi sebuah kereta nasional, mesti lagi ramai khalayak awam akan datang.

Friday, August 29, 2008

Rumah Merdeka


TAJUK: Rumah Merdeka
KARYA: Zurinah Hassan


Selamat datang 31 Ogos
untuk kesekian kalinya
kita meneriakkan ‘merdeka’
dan mengibarkan bendera indah
di puncak tiang negara.

Selamat datang 31 Ogos
perarakan berlalu menyusur perjalanan waktu
dan kita pun bertanya
bagaimana memelihara rumah merdeka ini dengan sebijaknya.

Merdeka bukan bererti bebas tanpa batas
merdeka tidak bererti rumah tak perlu berkunci
merdeka bukan membiar kebun jiwa tak berpagar
merdeka adalah milik kita yang termahal
milik yang ditebus dengan nyawa dan air mata
peliharalah ia sebijaknya
bersihkan ia dari kemungkaran
kerana kemungkaran mengundang virus kekotoran, racun pencemaran
yang akan membiak dan merebak menjadi wabak
menggugat saraf dan jasad bangsa
perangi ia sehabisnya
sebelum negara menjadi pesakit yang sengsara.

Anak-anak merdeka
mari kita kutip makna dari sejarah
keruntuhan akhlak yang membawa padah
kota dan empayar dunia yang telah musnah
akibat kemungkaran rakyat dan pemimpin khianat
mengambil teladan dari peradaban
yang tidak dapat bertahanruntuh dimamah zaman.

Anak-anak tercinta
jangan kau sangka di era modenisasi,
kota siber dan canggih IT
kita tak perlu berbudaya dan berbudi
akhlak mulia adalah warna peribadi
tanpa peribadi kau hanyut tak berpaut
tenggelam di lautan tidak bertepi
karam di daratan tanpa sempadan
sesat dan terjerat di timbunan maklumat
buta meraba di simpang siur lebuhraya kota siber.

Anak-anak tercinta
rimbun pohon kerana baja
rimbun tamadun ditunjangi akhlak mulia
komunikasi berkesan oleh tutur yang sopan
terpaut rasa oleh santun bahasa
pedoman bangsa adalah rukun susila
taman peradaban yang kita bina
dengan semurni wawasan
akan musnah tanpa petugas yang amanah
akan hancur tanpa pewaris yang jujur.

Mari kita lengkapi rumah kita yang bahagia
lindungi bangsa dari penjajah budaya
pelihara bangsa dari penakluk minda
dengan akhlak mulia kita bina masyarakat jaya.




DIDEKLAMASIKAN OLEH: Harlym Yeo @ 29 Ogos di MPAJ, Selangor


Apresiasi Puisi Merdeka ke-51 di MPAJ

Tahun ini, semangat aku untuk sambutan hari kemerdekaan agak kurang berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Barangkali aku teralpa dek keasyikan mengikuti perkembangan rentak senario politik tanah air yang bagaikan telenovela dunia realiti. Bahang kemerdekaan seolah-olah kurang hangatnya. Kalah telenovela yang pernah kutonton di TV. Entahlah...!

Walau bagaimanapun, mujur adindaku mengejutkan aku daripada dibuai oleh alunan politik yang bagaikan tak berkesudahan ini dengan mengkhabarkan tentang SDPM 2008. Malah sebelum itu, KALAM juga menyedarkan aku daripada karam di lautan politik (macamlah aku ni ada peluang nak jadi ahli politik. Ceh!) Awal Ogos yang lalu, aku telah diundang untuk terlibat membaca puisi pada program MALAM APRESIASI PUISI MERDEKA KE-51 DI AUDITORIUM MPAJ, AMPANG, SELANGOR pada Jumaat, 29 Ogos 2008, pukul 8.30 malam.

Oh... nampaknya aku kena bersiap sedia sekarang. Kembali ke blog ini selepas jam 8:30 malam untuk mengetahui puisi apa yang akan kudeklamasikan malam ini. Tidak pun, datanglah beramai-ramai ke Auditorium MPAJ nanti. Siapa lagi yang turut terlibat? Jenguklah blog adindaku.

Saturday, August 23, 2008

Corat-Coret SDPM 2008 (yang pasti tak ada di akhbar utama)

Persembahan Selingan

Aku sangat terhibur dengan persembahan puisi perpaduan yang dideklamasikan oleh ASP Foo Chek Seng (kiri), Azamin B Itam (tengah) dan Maitili a/p Muniandy (kanan) sementara menunggu keputusan diumumkan. Puisi yang berjudul 'Akhlak Mulia Masyarakat Jaya' (atau juga dikenali sebagai 'Rumah Merdeka') karya Zurinah Hassan pernah mencoret seribu kenangan manis buat aku. Persembahan ini mengimbau kembali detik-detik aku mula bergiat dalam dunia puisi. Sebabnya... aku pernah deklamasikan puisi bondaku ini secara berduet dengan Ahmad Shukri Abdullah - Johan SDPM '96, di Dataran Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 1997.

Gaya persembahan bekas johan SDPM '07, Miliyana Arshad yang amat bersahaja dan berkesan. Persembahan dengan menggunakan clip-mic memberi ruang kepada deklamator bergerak secara lebih bebas dan selesa jika dibandingkan dengan penggunaan stand-mic. Apa kata penganjur SDPM tahun depan, guna kaedah demikian untuk para peserta SDPM? Mungkin ia akan memperlihatkan satu kelainan persembahan peserta jika dibandingkan dengan persembahan-persembahan sebelum ini.


Julangan Trofi Si Juara

Dengan berbekalkan puisi 'Warga Watan' karya Hanipah Lokman, Lim Fheng Fheng berjaya menambat hati para juri untuk menobatkan beliau sebagai juara kategori bukan Bumiputera ketika membuat persembahan pada malam pertama SDPM. Sayangnya... puteri Dr Lim Swee Tin ini 'tidak berjaya' menambat hatiku. Sebabnya... aku gagal menghayati dendangan puisinya dek sibuk menemu bual para peserta lain di belakang pentas. Entah bilalah agaknya aku berpeluang untuk menikmati alunan bacaan pusinya? (kepada sesiapa yang tahu, tolong bagi tahu aku ya.)

Juara kategori Bumiputera, Che Nu Alina Mohamed, 38, dari Perak yang mempertaruhkan 'Ladang Merdeka' karya Nasir Ali, rupanya mempunyai anak gadis sunti berusia 19 tahun yang kini menuntut di sebuah universiti tempatan. Jika bersama, pasti ramai yang sangka mereka adik beradik! Khabarnya juga, beliau yang merupakan wakil negeri Perak ini bertading di Perak bersama anak lelakinya yang aku difahamkan anak lelaki itu mendapat tempat kedua. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Syabas puan!

Inilah dia wajah-wajah anak pasca merdeka yang pastinya bukan sahaja gembira riang kerana membawa hasil kemenangan tetapi diiringi bersama seribu malah sejuta kenangan manis dari Auditorium DBKL setelah bergelar pemenang. Kepada mereka yang mendapat tempat saguhati, bagi aku, mereka tetap pemenang dan juara - juara mewakili negeri atau institusi masing-masing.


Model Iklan Ubat Gigi Merdeka

Gambar aku bersama adindaku, Raihani Mohd Saaid (kalau ibunya bondaku, anak kepada bondaku, tentulah adindaku, tak gitu?), menayangkan senyuman masing-masing untuk iklan ubat gigi yang bakal berada di pasaran. Dapatkan di pasaran ubat gigi cap abang-adik-mak-lain-bapa asing untuk kegunaan sambutan Bulan Merdeka. Ubat gigi yang mencegah bau yang tidak enak semasa laungan 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!'

Oh ya... tak puas baca corat-coret di sini, singgahlah blog adindaku.

Friday, August 22, 2008

Syabas Para Pemenang SDPM 2008!

Kategori Bumiputera
JOHAN (tengah) : Che Nu Alina Mohamed, Perak
NAIB JOHAN (kiri) : Mohd Aqi Mohd Azmi, Putrajaya
KETIGA (kanan) : Siti Nur Zafran Zainal Abidin, Kelantan


Kategori Bukan Bumiputera
JOHAN (tengah) : Lim Fheng Fheng, Kuala Lumpur
Naib Johan (kiri) : Wee Win Nie, Kelantan
Ketiga (kanan) : Lim Siew Fong, Wilayah Persekutuan Labuan


Para peserta dan pemenang mengambil gambar kenangan bersama YB Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Dato' Seri Hj Mohd Shafie Hj Apdal.

Berdasarkan profil para pemenang kali ini, ia kelihatan seakan-akan menunjukkan orang-orang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang ni hebat-hebat belaka. Habis tu... aku pun orang Kelantan dan bekerja di Kuala Lumpur... jadi apa lagi... tahun depan tunjuklah taring. Hehehe... (sekadar memberi motivasi kepada diri sendiri!) Ceh!

Erti Merdeka... Apa Kata Mereka?

Ketika menghadiri acara Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka (SDPM) semalam, aku sempat bertemu bual beberapa peserta sayembara untuk mendapatkan pandangan dan pengertian mereka tentang erti merdeka. Mari kita tatap, apa kata mereka...

"Kemerdekaan adalah kebebasan yang mana kita bebas melahirkan idea dan cara kita sendiri tanpa pengaruh luar. Dan kita perlu ingat, untuk mendapatkan kemerdekaan itu mudah, tetapi untuk mempertahankannya sangat sukar."
Pamela Bt Abd. Harip, 22 tahun, Pelajar, Wilayah Persekutuan Labuan


"Kemerdekaan yang membawa erti kebebasan daripada penjajahan ke atas negara kita yang tercinta. Dengan kemerdekaan ini, anak-anak kita dapat merasai kehidupan yang senang dan dapat merasai kehidupan yang senang dan bahagia tapa merasai sebarang ketakutan. Dengan itu, anak-anak kini perlu menyemai mahligai sebuah kemerdekaan. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting agar erti kemerdekaan ini tidak akan dilupai untuk selama-lamanya."
Lim Siew Fong, 24 tahun, Wilayah Persekutuan Labuan


"Merdeka adalah anugerah yang tidak ternilai tidak tergambar dengan kata-kata kerana terlalu besar maknanya dan tidak sekadar melaungkan tapi menghayati setiap detik dan ketika selagi hayat dikandung badan."
Suliha Yusof @ Yakub, 36 tahun, Kerani Pentadbiran, Kedah


"Merdeka
- bukan setakat untuk dilaung-laungkan sahaja.

- kita sebagai warganegara Malaysia patut menghayati maksud tersirat merdeka tersebut.
- tak kenal maka tak cinta, renungkanlah..."

Wee Win Nie, 17 tahun, pelajar SMK (C) Chung Hwa, Kota Bharu, Kelantan


"Merdeka mencerminkan anjakan dalam individu itu sendiri, memperlebarkan jurang antara masyarakat yang multiracial. Lantas, secara peribadi, ia menjadi tunjang kepada pembentukan sahsiah individu sendiri."
Kenny @ Alexandar Sadom Dawar, 27 tahun, Pengurus Kewangan, Putrajaya


"Kemerdekaan ialah kita bebas daripada sebarang penjajahan. Bebas melakukan perkara yang disukai tanpa perlu rasa sangsi dan takut."
Lim Fheng Fheng, 24 tahun, Eksekutif Penerbitan, Kuala Lumpur


Puisi Merdeka di DBKL

Semalam aku berkesempatan menyaksikan Sayembara Deklamasi Puisi Medeka (SDPM) 2008 yang diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), anjuran Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian & Warisan (KPKKW) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Apa yang istimewanya pada kali ini ialah pembahagian dua kategori (seperti juga pada tahun terdahulu) iaitu kategori bumiputera dan bukan bumiputera yang masing-masing ditawarkan hadiah-hadiah yang lumayan. Para peserta di atas merupakan pendeklamasi (kenapa masih ramai yang guna istilah 'pendeklamator' sedangkan istilah yang sebetulnya ialah 'pendeklamasi' atau 'deklamator'? Kalau tak pasti, guna sajalah 'pemuisi' atau 'pembaca puisi'.) yang bakal merangkul RM5,000 beserta piala iringan, sijil & cenderamata jika bergelar Johan. Wang tunai RM3,000 dan RM2,000 masing-masing untuk Naib Johan dan pemenang tempat ketiga. Yang pastinya, kesemua mereka yang di atas akan membawa pulang sekurang-kurangnya RM1,000 kerana hadiah saguhati berjumlah RM1,000 seorang beserta sijil! Wow! Syoknya... seingat aku... masa ambil bahagian dulu, hadiahnya taklah sebegini lumayan. Rasanya nak ambil bahagianlah pada tahun depan. Emmm... itupun jika tiada aral melintang seperti tahun ini.

Jika nak tahu siapa yang bakal menjadi OKB dengan poket lebih RM2,000 hingga RM5,000, datanglah ke DBKL malam ni (22 Ogos) jam 8:30 malam. Malam ini juga akan turut memperlihatkan 10 orang lagi peserta bumiputera berentap. Sekali gus akan turut menyaksikan siapa bergelar juara.

Jika anda tak berkesempatan meluangkan masa menghadirkan diri, usah risau. Kembali melawati blog aku ini dan akan kusenaraikan nama & gambar para pemenang dan sepatah dua kata daripada mereka berkenaan pengertian merdeka.


[Keputusan SDPM2008]

Friday, May 16, 2008

Dedikasi Buat Guru Tercinta sempena Hari Guru


Kepada semua bekas guruku, 'Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat. Menjadi kenangan ke akhir hayat (petikan daripada Puisi Guru oh Guru)'.

Segala ilmu yang kaucurahkan. Takkan kusia-siakan. Sentiasa kujadikan pedoman dan suluhan kehidupanku. Terima kasih tak terhingga buat semua yang bergelar guru, terutamanya mereka yang pernah membimbingku.

Dari zaman tadika, sekolah rendah hinggalah tamat sekolah menengah, para guru tak mengenal penat lelah memberi tunjuk ajar daripada mengenal huruf hinggalah menjadikan aku mahir berbahasa. Para pensyarah di Malaysian Institute of Art - MIA (1987-90) telah berjaya membimbingku melangkahkan kaki ke dunia kerjaya dengan yakin sekitar 1990. Tatkala aku mendekati dunia perniagaan, para pensyarah di UM; Dr. Jamaluddin Mohd Yunos - Dr. J (Entrepreneurship), Abdul Manan Mansor (Project Management), Anurddin Abd Ghani (Management Economics), Aziz Mustafa (Strategic Management), Abdul Manaf (HRM), Mazni Abdullah (Financial Management), Mokhzani Aris (TQM), Syarif Ibrahim (Accounting Principles) , Mohd Yusoff Ajib (Sales & Marketing Principles) dan Said Othman serta Kuppusamy; menjadikan aku lebih profesional dan berdaya saing semasa berurus niaga.


Gambar kenangan diambil pada 27 Nov 2006 semasa jamuan makan yang diadakan oleh PDEBM11. Di tengah-tengah smart berjeket tu ialah Dr J.


Dalam menceriakan hidup dan melengkap diri dengan hobi, di bidang lakonan; Cikgu Fauziah Nawi dan Normah Nordin serta Kak Chah (Habsah Hassan) dan kak Ogy; dikau telah menyuntik semangatku semasa percubaan ku menjinak-jinakkan diri dalam bidang lakonan sekitar 1995. Dalam seni puisi; Bonda Zurinah Hassan, Dr. Lim Swee Tin, Prof. Rahman Shaari dan Cikgu Ahmad Salju; telah menyediakan pelantaran yang utuh untukku bergiat dalam bidang bacaan puisi hingga kini.

Mereka yang bergelar guru dan para guruku. Sekali kuanggap dikau guruku, sepanjang hayat kukenang budimu. Terimalah puisi ini sebagai secubit rasa takzimku buat kalian.



Guru Oh Guru
karya Sasterawan Negara Malaysia,

Allahyarham Datuk Dr Usman Awang.


Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu,
guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


Usman Awang
1979


Wednesday, April 30, 2008

Baca Puisi Kuala Lumpur

Deklamasi puisi merupakan pengucapan para penyair yang amat puitis bahasanya dan sarat dengan nilai estetika dan sentimental untuk menyampaikan idealogi, pandangan, pendapat atau isi hati bagi dinikmati halwa telinga khalayak pendengarnya. Ia juga merupakan salah satu aktiviti seni kegemaran aku.

Baru-baru ini, walaupun keadaan kesihatan aku yang kurang menyenangkan dan cuaca yang tak menentu (asyik hujan aje), berbekalkan minat yang mendalam, aku melangkah kaki ke gelanggang acara Baca Puisi Kuala Lumpur di Ruang Legar Balai Budaya, Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) pada malam 18 April 2008. Hujan pada malam itu tidak sedikit pun menampakkan kurangnya sambuatan malah acara bermula seperti yang dijadualkan. Acara anjuran Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) ini merupakan siri baca puisi yang diadakan pada hari Jumaat minggu ketiga setiap bulan bermula April 2008. Malam itu merupakan malam pertama, jadi aku pun tak nak terkecuali daripada turut memeriahkan suasana.


Salah seorang pembaca yang juga merupakan rakan seniku, Siti Raihaini Mohd. Saaid, sempat mendekalmasikan puisinya yang berjudul Nazam Orang Kita. Aku difahamakan beliau bergegas merempuh hujan dari UPM. Kesian, cik adik molek ni. Mujur Along (panggilan manjanya) tiba pada waktu yang ditetapkan. Sempat juga aku menghayati dendangan nazamnya. Malah dengan tamaknya aku minta naskhah puisinya untuk diisi ke dalam blog ini. Moga ia dapat dimanfaatkan oleh pembaca blog pula.

Bonda (Zurinah Hassan) juga kelihatan pada malam itu.

Nazam Orang Kita
Karya: Raihani Mohd. Saaid

Allah Allah Azza Wajalla Tuhan kami

Kami minta restu pada malam ini

Dengan Bismillah kami mula nazam ini

Untuk hadirin acara Laman Teater DBP.


Malam ini hamba berkhabar hamba bercerita

Kisah hidup ragam telatah oranglah kita

Bukan mengumpat bukan mengeji atau mengata

Mana yang baik ambil ikhtibar buat pelita.



Duduk di kampung jemulah benar

Sampai di kota baru tersedar

Yang rajin mewah, yang malas lapar

Pucuk ubi pun kena bayar.


Kita disuruh berjimat cermat

Hemah belanja hidup selamat

Di setiap ceruk di setiap tempat

Pasar raya bertingkat-tingkat.




Rumah pangsa ramai orang berhimpit-himpit

Majlis PBT angkut sampah berbukit-bukit

Bila dah sempit takut jadi sarang penyakit

Bila dah sesak anak-anak jadi mat rempit.


Langit terbuka tanpa sempadan globalisasi

Segala maklumat telah tersedia di hujung jari

Berteman berhubung dengan yang jauh di luar negeri

Terlalu leka hingga tak kenal jiran sendiri.



Tak ada masa hendak bersenam jaga kesihatan

Semua benda hendak dimakan berbukit-bukit

Orang dulu dapat penyakit dek kurang makan

Orang sekarang kurang makan dek berpenyakit.


Orang kita bila tiba musim beraya

Penuh sesak membeli-belah di pasar raya

Baju cantik bukan main hendak bergaya

Hingga tak sedar orang lain yang kaya-raya.


Bengkel kereta ramai pelanggan

Kereta berlanggar sepanjang jalan

Bertambahlah hasil pada kerajaan

Polis, JPJ buat kutipan.



Angin bertiup di sini sana

Di desa mahupun di bandaraya

Sudahlah habis semua raya

Mana nak sama pilihanraya.


Jadi pemimpin mesti jujur berdedikasi

Kuat kerja untuk rakyat dan tabah hati

Jadi rakyat jangan asyik mengumpat keji

Tapi nama tak ada dalam daftar undi.



Binalah bangsa agar besar dan dihormati

Jangan lupa dalam selimut gunting menanti

Anak kita berlumba-lumba ke universiti

Ramai juga yang berlumba ke pusat serenti.


Cepatnya berubah wajah kotaku

Menara tinggi tandanya maju

Lainlah pula di Kampung Baru

Kampung Baru tak baru-baru.


Sekian dulu nazam hamba malam ini

Salah silap hamba mohon dimaafi

Ingat-ingat pesan hamba bawa ke mimpi

Kalau terasa jangan disimpan di dalam hati.



Saturday, December 15, 2007

Dua Watak dalam Dua Jam

ADEGAN PERTAMA
Lokasi: Neway Karaoke, 6:30 - 8:30 malam

Gambar di atas diambil pada 7 Dec 2007 jam 8:19 malam di Neway Karaoke bersama-sama rakan sekerja semasa sambutan parti x-mas anjuran tempat kerja aku. Kami 'sekeluarga' pakat-pakat menghiburkan diri dengan nyanyian, makanan dan memacam yang sewaktu dengannya. Aku sangat enjoy kerana berjaya untuk tidak menyanyi walau pun sepatah lagu. Dan lebih enjoy lagi kerana berjaya memboloskan diri daripada tapak karaoke sebelum acara kemuncak yakni tukar hadiah dan cabutan bertuah, iaitu sebelum jam 8:30 malam untuk ke acara yang lain... acara yang menuntut aku lebih bersopan.


ADEGAN KEDUA
Lokasi: Menara Dewan Bahasa & Pustaka, 9:00 - 11:30 malam

Gambar di atas diambil (dengan penuh bersopan santun di samping Profesor Rahman Shaari yang nampak sangat serius tapi peramah orangnya) pada 7 Dec 2007 jam 11:08 malam di Menara Dewan Pustaka & Bahasa sejurus selepas majlis meraikan penerima S.E.A. Write Awards 2007 - Prof. Rahman Shaari, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Pengembangan Bahasa dan Sastera Antarabangsa (BSA) dan Pusat Dokumentasi Melayu (PDM). Sekumpulan lebih 40 karyawan menyampaikan ucapan penghargaan melalui bacaan puisi. Aku juga turut diundang untuk menghadiri dan membaca sebuah puisi pilihan dalam Anjung Persinggahan karya penerima S.E.A Write Awards 2007 - Rahman Shaari di majlis tersebut. Tapi masa cemburu kat aku, ada peluang tapi tak ada ruang waktu untuk menunjukkan 'taring' aku.



Insaf Lebih Mahal daripada Merajuk


Marhaenee pun merajuk

katanya

kenapa abah tak beli

apa yang tadi Aenee pesankan

kenapa abah tak cari

apa yang kini Aenee harapkan?


Jawab abahnya:

anak,

manfaatkanlah apa yang ada

harapan tak semua tertunai

tujuan tak semua tercapai.


Abah memang ingati

apa yang kaupesankan

abah memang sedari

apa yang kauharapkan

tapi kemiskinan memaksaku menunduk

kau perlu memahami

insaf lebih mahal daripada merajuk

kau perlu mempelajari.


Dendang Merdeka


Dalam detik masa berlalu

berkatalah, mara!

cuma seruan yang mimpi kosong

dalam nada masih terkurung.

Apalah lantang suara itu

dari menara

kita merangkak pulang bermenung

kerana derita masih ditanggung

Mari rakanku!

kita merdeka sekali lagi

esok kita dendangkan

lagu jaya paling abadi.