Sunday, May 9, 2010

Apologi Buat Mama pada Hari Ibu di RTM

Setiap orang yang masih mempunyai ibu akan menyambut Hari Ibu yang jatuh pada 9 Mei 2010 dengan cara yang tersendiri. Sepanjang pengamatan saya ketika berjalan-jalan di pusat membeli belah mendapati ramai anak muda yang membawa orang tuanya untuk makan bersama. Ada juga dalam kalangan si bapa yang membeli beg tangan kepada si isteri sebagai hadiah.

Berbeza dengan saya. Ibu yang saya panggil mama berada di kampung. Banjaran Titiwangsa yang memisahkan kami tidak dijadikan alasan untuk tidak boleh menyambut Hari Ibu bersamanya. Saya meraikan Hari Ibu dengan cara yang istimewa tahun ini. :)

Saya mengambil peluang muncul di kaca TV nasional untuk meluahkan isi hati kepada mama melalui puisi. Khas buat mama, saya tulis puisi berjudul Epilog Apologi Buat Mama yang saya baca dalam rancangan Hujung Minggu Malaysia, TV1, RTM pada jam 8:30 pagi, 9 Mei 2010. Sekali gus, buat kali pertama juga saya 'menyumbangkan' suara dengan lagu Mandarin di hadapan jutaan khalayak penonton.


Epilog Apologi Buat Mama
Karya: Harlym Yeo

[Intro dengan lagu Mandarin 'Se Sang Ce You Ma Ma Hau']

Se sang ce you ma ma hau (世上只有妈妈好)
You ma ti hai ce siang ke pao (有妈的孩子像个宝)
Thou cin ma ma ti huai pau (投进了妈妈的怀抱)
Sing fuk siang pu liau (幸福享不了)

Kumandang kasih ibu
beralun melewati lagu itu
kuhayati dengan asyik
hatiku terusik

Di kejauhan ini
masih kuterasa bagaikan hangat dalam pelukanmu
walhal aku cuba sembunyi hangit kepalsuanku.

Maafkan daku, mama!

Kala daku taasuh menggapai kebijakan duniawi
sehingga terabai kebajikan famili
daku tidak pernah lupa nasihatmu
cuma sekadar alpa kerana desakan nafsu.

Maafkan daku, mama!

Kala bergelumang dalam gelombang hidup
memilih jalan sendiri tanpa restumu
pesananmu di hati sentiasa terukir
namun insan kerdil ini tak bisa melawan takdir.

Maafkan daku, mama!

Kala kuberseloroh seolah riang
tapi memberontak dalam diam
kerap berdusta dalam gurau senda
Merintih pedih perih dalam dunia sesumpahku
Sampai bila… aku sendiri pun tidak mahu tahu!

Maafkan daku, mama!

Kala perasaan ini diulit rindu tak berbingkai
gugusan harapan dan doa terangkai
agar epilog apologi ini akan terungkai.

Untuk kesekian kalinya
Maafkan daku, mama!
Publish Post



07 Mei 2010
Kuala Lumpur


CATATAN:

Lagu 'Se Sang Ce You Ma Ma Hau' di
http://www.youtube.com/watch?v=Fx6APEO3QeM&feature=related

Maksud lagu:
Ibulah yang terbaik di dunia ini
Anak yang mempunyai ibu bagaikan harta karun
Apabila berada dalam pelukan ibu
Kebahagiaan tidak terkata

0 comments: