Kepada semua bekas guruku, 'Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat. Menjadi kenangan ke akhir hayat (petikan daripada Puisi Guru oh Guru)'.
Segala ilmu yang kaucurahkan. Takkan kusia-siakan. Sentiasa kujadikan pedoman dan suluhan kehidupanku. Terima kasih tak terhingga buat semua yang bergelar guru, terutamanya mereka yang pernah membimbingku.
Dari zaman tadika, sekolah rendah hinggalah tamat sekolah menengah, para guru tak mengenal penat lelah memberi tunjuk ajar daripada mengenal huruf hinggalah menjadikan aku mahir berbahasa. Para pensyarah di Malaysian Institute of Art - MIA (1987-90) telah berjaya membimbingku melangkahkan kaki ke dunia kerjaya dengan yakin sekitar 1990. Tatkala aku mendekati dunia perniagaan, para pensyarah di UM; Dr. Jamaluddin Mohd Yunos - Dr. J (Entrepreneurship), Abdul Manan Mansor (Project Management), Anurddin Abd Ghani (Management Economics), Aziz Mustafa (Strategic Management), Abdul Manaf (HRM), Mazni Abdullah (Financial Management), Mokhzani Aris (TQM), Syarif Ibrahim (Accounting Principles) , Mohd Yusoff Ajib (Sales & Marketing Principles) dan Said Othman serta Kuppusamy; menjadikan aku lebih profesional dan berdaya saing semasa berurus niaga.
Dalam menceriakan hidup dan melengkap diri dengan hobi, di bidang lakonan; Cikgu Fauziah Nawi dan Normah Nordin serta Kak Chah (Habsah Hassan) dan kak Ogy; dikau telah menyuntik semangatku semasa percubaan ku menjinak-jinakkan diri dalam bidang lakonan sekitar 1995. Dalam seni puisi; Bonda Zurinah Hassan, Dr. Lim Swee Tin, Prof. Rahman Shaari dan Cikgu Ahmad Salju; telah menyediakan pelantaran yang utuh untukku bergiat dalam bidang bacaan puisi hingga kini.
Mereka yang bergelar guru dan para guruku. Sekali kuanggap dikau guruku, sepanjang hayat kukenang budimu. Terimalah puisi ini sebagai secubit rasa takzimku buat kalian.
Guru Oh Guru
karya Sasterawan Negara Malaysia,
Allahyarham Datuk Dr Usman Awang.
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu,
guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
Usman Awang
1979
0 comments:
Post a Comment