Saturday, May 1, 2010

Pertanyaan Si Anak Kecil - Malam Puisi Riong Shah Alam


Malam Puisi Riong Shah Alam, Selangor semalam memberi pengalaman berharga kepada saya sebagai peminat seni puisi Melayu daripada kalangan bukan keturunan Melayu. Dan saya berbangga menjadi satu-satunya peserta bukan Melayu dalam program puisi bertemakan Wasilah Cinta Pencipta dan Manusia yang berlangsung di Laman Budaya, Taman Tasik Shah Alam, Selangor.

Menerusi karya tulisan Irma daripada Majalah Dewan Sastera (Mac 2010) berjudul 'Pertanyaan Si Anak Kecil', saya menjadikan penglibatan kali ini sebagai medan mengakrabkan diri dalam dunia puisi anjuran bersama Unit Sastera, Berita Harian dan Majlis Bandaraya Shah Alam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.


Pertanyaan Si Anak Kecil


Anak kecil itu bertanya
kita hidup sampai bila
masing-masing geleng kepala
susah untuk meneka bilakah ajal akan tiba.

Ada yang kata
logik akal orang tua berhijrah dahulu ke alam baka
mereka hidup sudah lama
sudah puas bergelumang noda.

Usah difikirkan dosa dan pahala
nanti terbengkalai semua kerja
pintu taubat sentiasa terbuka
tunggulah dahulu sementara masih bertenaga.

Anak kecil masih bertanya
kenapa ramai yang tidak sayang nyawa
di jalan raya, di rumah pangsa atau di mana saja
jadi tempat mengambil nyawa
secara paksa atau sukarela.

Anak kecil itu terus bertanya
zaman sekarang zaman siber
tidak bolehkah ditangguhkan kematian
tidak bolehkah diputar roda kehidupan
segala pakar pengemudi teknologi
dari hari ke hari mencari pelbagai teori
tapi ada perkara sukar diramal
hidup, mati, jodoh pertemuan
melengkapi putaran hidup anak Adam.

Irma
Dewan Sastera (Mac 2010)


Nota:
Gambar-gambar sekitar Malam Puisi Riong Shah Alam di http://tinyurl.com/PuisiRiong
Liputan sebelum acara di Berita Harian.

0 comments: