Sudut pandangan luar The Andaman Langkawi. (janganlah jelous!)
Kami berkampung di The Andaman Langkawi, sebuah hotel yang sesungguhnya cantik yang tak terhingga. Tak caya, layari gerbang sesawang hotel ni.
Saja aku posing maut depan papan tanda The Andaman, sebagai bukti aku dah ke sana dan nak show-off kat member sekampung.
(Foto dirakamkan mengguna kamera digital terbaru Panasonic Lumix FS5).
Bukan setakat tempat tinggalnya yang cun-melecun, malah hidangan siang dan malam - lazat hingga teringin jilat bukan setakat jari, tapi kalau boleh jilat sekali pinggan mangkuknya. Nak kontrol macho punya pasal, setakat jilat sudu garpu je lah akhirnya.
Seluar yang aku pakai tetiba menjadi ketat selepas menikmati hidangan ini.
Tapi sayang seribu kali sayang... penganjur yang mampu merancang, cuaca yang menentukan! Ini adalah kerana program yang sepatutnya berjalan lancar telah tercalar oleh keadaan cuaca yang tak menentu. Apa tidaknya... pada hari pertama, kami dijadualkan untuk snorkeling kat persisiran pantai berhampiran pulau di Datai Bay, tapi gerimis punya pasal, aku terpaksa pulang tanpa berpeluang mencuba camcorder SDR-SW20 yang mempunyai keunikan tersediri, iaitu berupaya untuk berfungsi walau terjatuh pada ketinggian 1.2 meter dan mampu merakam video dan foto pegun di dasar air sedalam 1.5 meter (tengoklah sendiri video di YouTube ini kalau tak caya).
Walau bagaimana pun, mujurlah pada hari kedua aku sempat merakamkan aktiviti di kolam renang yang digayakan oleh model-model yang didatangkan khas untuk sesi fotografi itu (entah ada tak member Muslim yang tertinggal solat Jumaat akibat khusyuk merakamkan aksi yang agak sukar disiarkan dalam media perdana?!).
Manakala pada hari kedua, kami dijadualkan untuk menaiki kereta kabel bagi menikmati panorama Pulau Langkawi dari sudut pandangan udara. Setiap orang dibekalkan seunit kamera digital model DMC-FX36 untuk merakamkan detik indah di cecelah awan. Model tersebut merupakan satu-satunya kamera digital yang didatangkan dengan keupayaan lensa ultra-wide-angle 25mm. Selain daripada mempunyai fungsi berteknologi iA (Intelligent Auto), ia juga dilengkapi dengan sokongan 4X zoom optikal, skrin LCD 2.5 inci dan 10.1 megapisel. Bukan main syok lagi jika berjaya rakam gambar ala-profesional dengan kamera digital amatur ini. Namun demikian, impian tinggal impian sahaja! Sekali lagi acara terpaksa dibatalkan ekoran angin kencang dan hujan yang sukar diramalkan. Maka, kami dilabuhkan di Telaga Harbour di Pantai Kok Langkawi. Bersama-sama dalam team media, rakan media aku dari Utusan Malaysia, Wan Shahara Ahmad Ghazali yang turut serta mencatatkan pengalaman beliau seperti yang di bawah ini.
Foto dirakamkan mengguna kamera digital terbaru Panasonic Lumix FX36.)
MASIH ingat lagi kepada Datuk Azhar Mansor? Pelayar solo negara yang telah mencipta rekod dunia dan kini bertanggungjawab membangun dan mengurus marina Telaga Harbour di Pantai Kok Langkawi.
Pada 1999, beliau telah mengambil masa 104 hari untuk mengelilingi dunia secara solo tanpa henti sejauh 21,600 batu nautika menaiki kapal layar Jalur Gemilang.
Kejayaan itu membolehkan Azhar diiktiraf oleh Majlis Rekod Pelayaran Pecut Dunia (WSSRC) secara rasminya sebagai pencipta rekod dunia. Ini kerana beliau menggunakan laluan Eastabout yang masih belum pernah dilayari secara solo sebelum itu.
Sebagai satu-satunya pelayar dari Asia (kecuali Jepun) yang berjaya menempuh cabaran itu tanpa bergantung kepada orang lain, beliau telah meletakkan Malaysia di atas peta maritim sekaligus menjadi seseorang yang dihormati di kalangan khalayak maritim.
Kejayaan itu juga telah mengangkat namanya sebagai warganegara tersohor yang telah merealisasikan semangat 'Malaysia Boleh', slogan yang dipopularkan sejak pertengahan tahun 1990-an.
Seorang pemandu pelancong pernah berkata, di sebalik kejayaan besar penjelajahan Azhar, masih ada pihak yang memperlekehkan beliau dengan menganggapnya hanya bersantai menaiki kapal layar pelancongan mewah.
Tapi sebenarnya, Jalur Gemilang hanyalah sebuah kapal layar yang agak kecil dan mudah dilambung ribut. Kini kapal itu berlabuh di tapak khas marina untuk tontonan orang ramai.
Menurut pemandu pelancong itu lagi, kapal kebanggaan Malaysia itu kini hanya digunakan semasa Azhar mengajar kelas pelayar muda atau untuk perjalanan jarak dekat sekitar Langkawi sahaja.
Marina Telaga Harbour terbahagi kepada dua bahagian iaitu Perdana Quay (sebutan kee) dan Petronas Quay. Perdana Quay adalah salah satu pintu masuk ke Malaysia yang menempatkan pejabat kastam dan imigresen.
Pelancong asing yang singgah ke Malaysia melalui jalan laut kini boleh terus masuk atau meninggalkan Malaysia dengan mudah tanpa perlu ke jeti utama.
Di Petronas Quay pula, terdapat bangunan dua tingkat yang berseni bina menarik yang menempatkan kemudahan penting seperti stesen minyak Petronas dan bank. Di sini, pengunjung juga boleh menjamu selera di restoran makanan segera sambil menghirup udara segar sambil menikmati pemandangan marina yang indah dari tingkat dua.
Walaupun masih baru, pangkalan kapal layar tersebut kini telah popular sebagai salah satu marina persinggahan utama kapal-kapal layar peribadi dari seluruh dunia selain diuar-uarkan oleh beberapa majalah gaya hidup antarabangsa sebagai marina terbaik Malaysia.
Kedudukannya di timur pulau utama Langkawi juga menjadikannya lokasi romantik popular bagi pemilik kapal layar menikmati matahari terbenam sambil berlayar.
Selain faktor kepelbagaian tarikan dan keindahan kepulauan Langkawi, faktor keselamatan juga menyebabkan teluk buatan ini popular di kalangan pemilik kapal.
Ia telah direka sedemikian rupa supaya kedudukannya terlindung daripada ombak besar yang telah sedikit sebanyak membantu mengurangkan kerosakan semasa bencana tsunami 2004 yang lalu.
Gunung Mat Chincang, lokasi ereta kabel paling mencabar Asia Tenggara pula melindungi marina itu dari angin kencang dari arah utara.
NOTA:
Model: DMC-FX36 Harga: RM1,299.
Model: DMC-FS5 Harga: RM1,099.
Model: SDR-SW20 Harga: RM1,599.
Maklumat ringkas pasal kesemua model camcorder dan kamera digital keluaran Panasonic juga ditulis oleh rakan media dari NST, Aimie Pardas, yang juga turut serta dalam rombangan ke Pulau Langkawi.
0 comments:
Post a Comment