Saturday, March 22, 2008

Lumix Baru Berteknologi iA

Petikan dari Megabait-Mingguan Malayisa 9 Mac 2008
OLEH MOHD. HAZLI HASSAN


JIKA Panasonic sebelum ini hanya hebat sebagai pengeluar peralatan elektrik konsumer, namun kini mereka lebih berani bersaing dengan pengeluar kamera utama global.


Dengan pelancaran jaringan kamera digital prosumer (DSC) Lumix, Panasonic dilihat ingin dan mampu bersaing secara global menandingi pembuat kamera utama dunia.

Lebih menarik, Panasonic bukan hanya mahu berada bersama-sama namun pengenalan sembilan model baru untuk tahun ini mampu menyebabkan pesaing terdekat berfikir panjang sebelum melancarkan kamera mereka secara global.

Pada Pertunjukan Perdagangan Persatuan Pemasaran Foto 2008 (PMA08) di Las Vegas, Amerika Syarikat bulan lepas, Panasonic berjaya membuat prapelancaran sembilan kamera DSC melalui model FX, FS, TZ, LZ dan FZ.

Yang uniknya kali ini, Panasonic berjaya bersaing dengan pengenalan beberapa ciri-ciri baru termasuk penggunaan pengesan gegaran MEGA O.I.S, pengesan pergerakan, pengesan muka, pengesan keadaan, pengesan cahaya, selain pengenalan lensa lebar bersaiz 25 milimeter, 28mm dan 30mm.

Mendahului pesaing dengan ciri-ciri terbaik ini, Panasonic mempertaruhkan FX35, FS20, FS5, FS3, TZ5, TZ4, LZ10, LZ8 dan FZ18 (semua nama model baru berlainan mengikut pasaran global) yang kini sudah berada di pasaran untuk menyaingi kamera prosumer lain yang sudah berada di pasaran.

Lebih menarik, kali ini, antara ciri-ciri yang paling utama dan belum berjaya ‘dicuri’ oleh pesaing terdekat ialah Auto Bijak (iA) yang bukan semata-mata penggunaan program auto sahaja.

Panasonic ketika memperkenalkan sistem itu kepada wartawan pada prapelancaran sebelum PMA08 berkata, program iA yang merangkumi kelima-lima ciri-ciri baru pengesan tadi mampu memberikan kebebasan kepada pengguna tanpa perlu berfikir panjang untuk merakamkan gambar.

Dan yang paling menarik, pengguna boleh menutup mata untuk merakamkan gambar menggunakan program iA dan jangan terkejut dengan hasil jaringan kamera Lumix yang turut dibantu dengan penggunaan lensa Leica – jenama lensa terkemuka dunia pada semua model.

Penggunaan Venus Engine IV juga meningkatkan sehingga 50 peratus kelebihan resolusi berbanding penggunaan Venus Engine III pada model terdahulu selain pengurangan sehingga 0.0005 saat sela masa pengatup.

Antara ciri-ciri menarik terbaru yang berjaya dibangunkan oleh Panasonic ialah pengesan cahaya di mana penggunaan ciri-ciri ini dijamin tidak lagi memberi kesan terlebih cahaya pada setiap rakaman.

Ini berikutan, pengesan cahaya dengan pendedahan bijak ini akan mengira jumlah cahaya kawasan yang gelap dan terang untuk memberi purata pendedahan sesuai.

Sistem

Malah, sistem ini juga akan mengawal dedahan jika cahaya belakang terlalu tinggi untuk tidak menghitamkan imej yang hendak dirakam.

Pengenalan lensa lebar pada sesetengah model juga memberi kelebihan kepada jaringan Lumix untuk berada sama paras dengan kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) tanpa batasan keluasan darjah memfokus.

Penulis yang diberi peluang menggunakan Lumix TZ5 (TZ15 untuk pasaran Asia) agak terpegun dengan kemampuan kamera selebar 103mm dengan berat 240 gram yang mempunyai zum optikal 10 kali.

Kemampuan dan prestasinya nyaris mengatasi kemampuan DSLR dengan penggunaan iA ketika dibawa mengelilingi kawasan Taman Negara Grand Canyon menggunakan helikopter.

Ternyata, tanpa memfokus dan secara bersahaja, program IA berjaya merakamkan keindahan salah satu lokasi tujuh keajaiban dunia itu.

Dapatkan maklumat lanjut mengenai model terbaru Lumix di www.panasonic.com.my/lumix.

0 comments: