Friday, September 5, 2008

Sistem Audio Sonic Gear

Seawal jam 9 pagi, aku menerima panggilan Regina Chin mengkhabarkan tentang tundaan masa pelancaran produk Sonic Gear pada jam 9:30 pagi kepada 10:30 pagi. Beliau cuba menghubungi aku semalam, tapi gagal. Tak kisahlah tundu pun tundalah sebab aku pun terperangkap dalam kesesakan masa tu. Khabarnya terowong Smart ditutup dan ia mengakibatkan kesesakan jalan raya yang luar biasa dari lebuh raya Seremban menuju ke KL, terutamanya di sepanjang jalan lapangan terbang lama Sungai Besi. Mujur aku sentiasa peka dengan laporan trafik di radio dan sempat mencari alternatif ke destinasi di Berjaya Times Square. Aku tiba di destinasi dengan selamatnya sebelum jam 10:30 pagi.

Produk audio berjenama Sonic Gear yang diedarkan oleh Leapfroglobal Group memperkenalkan beberapa barangan elektronik peribadi seperti earphone (seperti gambar di atas - harga RM59. Kalau kat Plaza Low Yatt, boleh dapat RM49) dan sistem audio (harga kurang daripada RM500) pada pelancaran yang serba ringkas pagi tadi. Para wakil media agak terkebil-kebil apabila diberitahu acara sudah tamat setelah mendengar taklimat dan pertunjukan daripada Senior Sales Executive, William Khoo, sebelum sesi soal-jawab yang dikendali oleh George Foo (CEO) - yang tidak diperkenalkan kepada media sebelum ini. Aku sendiri tidak menjangka ia begitu pantas dan tidak tersusun. Malah salah seorang rakan media dari The Star berbisik kepada aku, "lain kali kena suruh mereka dapatkan khidmat PR." Kuangx3 ~

Dalam terkebil-kebil itu, aku sempat merakamkan gambar Wanda Foo, Sales & Marketing Executive (kiri) dan George Foo (CEO) di samping TV keluaran LG yang tak ada kena mengena dengan pelancaran hari ini, tapi sebaliknya set sistem audio Sonic Gear model Sonic Array 2000 (berharga RM449) di sebelah kiri atas gambar tersebut. Gambar ini mengingatkan aku iklan ubat batuk ibu dan anak.

Apa yang istimewanya entri kali ini? Selain daripada harga produk yang diperkenalkan adalah pada tahap mampu-milik, tetapi yang signifikannya adalah kerana aku sendiri menang cabutan bertuah saguhati berupa sebuah sistem audio model Ego 3nity (gambar di atas) yang bernilai RM59! Di samping itu, semua wakil media juga dianggap bertuah kerana dapat membawa pulang sebuah earphone yang digelar Earpump bernilai RM59.

"Terima kasih, Sonic Gear. Tapi alangkah baiknya kalau saya menang hadiah utama yang berupa sebuah set sistem audio Sonic Array 2000 yang bernilai RM449 tu," kata dalam hatiku semasa menerima hadiah daripada wakil Sonic Gear di Malaysia - aiyaa... lupa dapatkan namanya.

Ada dua pilihan warna Ego 3nity ni. Yang aku menang ni berwarna putih. Putih pun putihlah walau yang ku berkenan ialah warna hitam.

0 comments: