Tuesday, June 16, 2009

Mampukah Keunikan Olympus PEN E-P1 Menarik Pelanggan?

Tommy Nagashima, (kiri) Pengurus Besar Jualan & Pemasaran Antarabangsa, Olympus Corporation, Japan dan Tan Tick Boon (kanan), Pengarah Urusan Olympus Malaysia, ditemani model-model jelita yang masing-masing menunjukkan kamera digital Olympus PEN E-p1.

OLYMPUS
mencatatkan detik bersejarah hari ini dengan memperkenalkan model kamera digital terbaru keluaran mereka, Olympus PEN E-P1.

Model terkini ini menawarkan empat ciri tersendiri yang unik seperti berikut:

1) reka bentuk kompak
2) kualiti imej SLR
3) penggambaran HD/kreativiti
4) mudah dikendali

Apa pun, selepas pelancaran produk berkenaan, aku sendiri test drive kamera ini dan mendapati teknologi kreatif enam penuras seni (art filter) sungguh mengagumkan. Aku beranggapan fungsi ini merupakan teknologi artistik yang mampu memberi nilai tambah kepada pengguna.

Imej di atas dirakam dengan menggunakan kamera Olympus PEN E-P1 dengan mengaktifkan fungsi penuras soft focus yang memberikan satu permukaan lembut (ala gambar kahwin di studio) walaupun ia dirakamkan pada cahaya terang (selepas acara pelancaran di Kuala Lumpur petang tadi).

Imej di atas dirakamkan dengan fungsi pin hole yang memberi kesan genap di penjuru foto sekali gus menimbul unsur-unsur mistik.

Selain daripada dua kesan di atas, PEN E-P1 juga menawarkan fungsi pop art, pale & light colour, light tone dan grainy film (seperti yang di atas).

Seperkara yang membuat aku teruja tetapi tidak dititikberatkan semasa pelancaran adalah Olympus PEN E-P1 ini buat kali pertamanya menyokong kad memori SD (atau SDHC) yang mana sebelum ini kebiasaannya kamera Olympus lebih sinonim dengan kad memori jenis xD.

Adakah penggunaan kad memori SD pada PEN E-P1 adalah salah satu daripada strategi syarikat Olympus untuk manarik lebih ramai pengguna daripada segmen pasaran pesaing yang sedia ada? Mampukan keunikan (yang tidak dihebahkan oleh Olympus sendiri masa pelancaran tadi) ini menarik bakal pengguna di kalangan pengguna kamera digital yang menyokong kad SD?

Menurut Penolong Pengurus Besar Olympus Malaysia, Encik Yong Kee Nyap, pengguna sasaran kamera digital PEN E-P1 adalah terdiri daripada peminat fotografi yang ingin menjadikan kamera sampingan bagi urusan tidak rasmi seperti berkelah, majlis hari jadi dan seumpamanya.

"PEN E-P1 didatangkan dengan reka bentuk yang kompak, kualiti imej yang premium dan stail yang anggun. Oleh itu, ia setimpal dengan posisi harga yang ditawarkan sekarang ini."

Walau bagaimanapun, aku beranggapan harga RM2,999 seunit yang didatangkan dengan lensa standard 14-42mm ini agak tinggi untuk mereka yang baru hendak berjinak-jinak dalam arena seni fotografi, apa lagi pada kala kekusutan ekonomi kebelakangan ini.

Jadi persoalannya, mampukan keunikan yang ditawarkan oleh Olympus PEN E-P1 tersebut menarik minat bakal pengguna sedia ada...? Tepuk dada tanya selera anda sendiri, jika anda ialah salah seorang daripada pengguna kamera digital yang menyokong kad SD atau pun anda sememangnya penggemar kamera digital Olympus, adakah anda akan memilikinya? Bagi aku, fungsinya sesungguhnya hebat tetapi ia didatangkan dengan harga yang setaraf kehebatannya... jadi kena fikir berkali-kali!

Info lanjut Olympus PEN E-P1 klik di sini.

9 comments:

Azree Ariffin said...

Saya sedang mencari kamera digital, tapi tak pasti yang mana yang bagus. Abg Harlym ada cadangan?

D'Rimba said...

Sudah bersediakah untuk berjuang di alam deklamasi? Teruskan perjuangan kental dalam bidang deklamasi walaupun sesibuk mana sekalipun.

HarlymYeo said...

Azree: cadangan saya ~ buat survey dulu. Antara yang perlu dititikberatkan adalah spt berikut:
(1) fungsi yang menepati kegunaan, kehendak & cita rasa sendiri.
(2) nilai yang berbaloi dgn harga ~ berhati2 dgn gajet yg terlampau murah harganya.
(3) window shopping dulu sebelum beli utk mendptkn info & lihat sendiri kamera tu.
(4) bila dah rasa nak beli di kedai tu, jgn ambil bulat2 apa yang dicadangkan oleh pekedai krn byk masa mrk mencadangkan yang terbaik utk faedah mrk, bukan utk kita. Selamat mencari! Kalau perlu, saya akan buat satu entri pasal cara2 nak beli kamera digital, nak?

HarlymYeo said...

D'Rimba: saya belum bersedia kerana masih belum dapat teks puisi. Naskhah buku saya pula hilang entah ke mana. Mungkin kena beli lagi di DBP.

Bebelan sem@t@-m@t@ said...

abg Harlym, garangnya ayat2 kamu tu.. santai aa skit review tu bro..
cam baca watikah apa la plak kan.. ahahaaha.. anyway, aku mmg jeles kau dpt menggodek kamera ni sambil bawk balik gambar yg kau save dari memori kau. uhhuhuhu.. gambatteh!!!

HarlymYeo said...

Terima kasehhhhh... (kena baca ala David Alleycat) Fariz! Utk entri yang akan datang, nanti i cuba usahakan agar lebih santaikan sikit penggunaan bahasa. Pasal imej yang aku rakam kat event tu, mujur kamera tu support kad SD aku, kalau tak, melepas juga!

Azree Ariffin said...

Abang harlym, kalau nak buat entri tersebut, tentunya sangat-sangat dihargai!

D'Rimba said...

Ambil aja di Pejabat Taman Budaya ada salinan sajaknya. Segera ya. Jika tidak hubungi saja saya. Saya akan cuba bantu ya sahabatku. Sama-sama kita martabatkan bidang ini.

D'Rimba said...

Santai tapi tetap bahasa Melayu kita kekal terpelihara...Jangan campur adukkan pula bahasanya sudahlah.