Baru-baru ini, walaupun keadaan kesihatan aku yang kurang menyenangkan dan cuaca yang tak menentu (asyik hujan aje), berbekalkan minat yang mendalam, aku melangkah kaki ke gelanggang acara Baca Puisi Kuala Lumpur di Ruang Legar Balai Budaya, Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) pada malam 18 April 2008. Hujan pada malam itu tidak sedikit pun menampakkan kurangnya sambuatan malah acara bermula seperti yang dijadualkan. Acara anjuran Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) ini merupakan siri baca puisi yang diadakan pada hari Jumaat minggu ketiga setiap bulan bermula April 2008. Malam itu merupakan malam pertama, jadi aku pun tak nak terkecuali daripada turut memeriahkan suasana.
Salah seorang pembaca yang juga merupakan rakan seniku, Siti Raihaini Mohd. Saaid, sempat mendekalmasikan puisinya yang berjudul Nazam Orang Kita. Aku difahamakan beliau bergegas merempuh hujan dari UPM. Kesian, cik adik molek ni. Mujur Along (panggilan manjanya) tiba pada waktu yang ditetapkan. Sempat juga aku menghayati dendangan nazamnya. Malah dengan tamaknya aku minta naskhah puisinya untuk diisi ke dalam blog ini. Moga ia dapat dimanfaatkan oleh pembaca blog pula.
Nazam Orang Kita
Karya: Raihani Mohd. Saaid
Allah Allah Azza Wajalla Tuhan kami
Kami minta restu pada malam ini
Dengan Bismillah kami mula nazam ini
Untuk hadirin acara Laman Teater DBP.
Malam ini hamba berkhabar hamba bercerita
Kisah hidup ragam telatah oranglah kita
Bukan mengumpat bukan mengeji atau mengata
Mana yang baik ambil ikhtibar buat pelita.
Duduk di kampung jemulah benar
Sampai di kota baru tersedar
Yang rajin mewah, yang malas lapar
Pucuk ubi pun kena bayar.
Kita disuruh berjimat cermat
Hemah belanja hidup selamat
Di setiap ceruk di setiap tempat
Pasar raya bertingkat-tingkat.
Rumah pangsa ramai orang berhimpit-himpit
Majlis PBT angkut sampah berbukit-bukit
Bila dah sempit takut jadi sarang penyakit
Bila dah sesak anak-anak jadi mat rempit.
Langit terbuka tanpa sempadan globalisasi
Segala maklumat telah tersedia di hujung jari
Berteman berhubung dengan yang jauh di luar negeri
Terlalu leka hingga tak kenal jiran sendiri.
Tak ada masa hendak bersenam jaga kesihatan
Semua benda hendak dimakan berbukit-bukit
Orang dulu dapat penyakit dek kurang makan
Orang sekarang kurang makan dek berpenyakit.
Orang kita bila tiba musim beraya
Penuh sesak membeli-belah di pasar raya
Baju cantik bukan main hendak bergaya
Hingga tak sedar orang lain yang kaya-raya.
Bengkel kereta ramai pelanggan
Kereta berlanggar sepanjang jalan
Bertambahlah hasil pada kerajaan
Polis, JPJ buat kutipan.
Angin bertiup di sini sana
Di desa mahupun di bandaraya
Sudahlah habis semua raya
Mana nak sama pilihanraya.
Jadi pemimpin mesti jujur berdedikasi
Kuat kerja untuk rakyat dan tabah hati
Jadi rakyat jangan asyik mengumpat keji
Tapi nama tak ada dalam daftar undi.
Binalah bangsa agar besar dan dihormati
Jangan lupa dalam selimut gunting menanti
Anak kita berlumba-lumba ke universiti
Ramai juga yang berlumba ke pusat serenti.
Cepatnya berubah wajah kotaku
Menara tinggi tandanya maju
Lainlah pula di Kampung Baru
Kampung Baru tak baru-baru.
Sekian dulu nazam hamba malam ini
Salah silap hamba mohon dimaafi
Ingat-ingat pesan hamba bawa ke mimpi
Kalau terasa jangan disimpan di dalam hati.
4 comments:
Salam bang,
Oiiii!Punyalah banyak gambar kita kat sini.Bubuh satu cukuplah.Bubuh nazam saja pun takpe.Gambar tengah sebek-sebek pun bubuh jugak,ke?Hehehe!Tamak,tamak!
Anyway thanks a looooot!
Ini bukan tamak, tapi kiasu. Hehehe... jangan marah!
isy isy..mane gambar adik yg sedia berkhidmat menjage puteri kecil Siti Raihani tu..???
ini demokrasi terpimpin!!
hehe
aku juga peminat nazam ini tetapi aku masih belum cukup kuat untuk meminta nazam ini dari empunya diri...
Post a Comment