Saturday, May 17, 2008

Honda Accord yang Menawan


Honda Accord 2.0 yang bernilai lebih RM140 ribu menjadi milik aku untuk 3 hari 3 malam bagi tujuan test drive. Semasa membawa pulang ke rumah, jiran yang jarang bertegur pun tersenyum lebar sambil berkata (dalam hatinya), "wah, kereta baru nampak". Yalah... siapa tak teruja melihat kereta mewah. Serba hitam lagi tu! Budak kecil umur 4 tahun pun tahu puji dan menilai bila aku berhenti di sebelah tadika Q-Dees Kota Kemuning hari tu. Sesungguhnya ia kelihatan amat gah dan ruang dalamannya cukup luas serta selesa. Manakala pemanduan di lebuhraya dengan kelajuan 160km/jam sekalipun, ia tetap lancar dan stabil (mujur tak kena speed-trap). Mudah-mudahan bila ada rezeki, dapatlah aku miliki kereta mewah ini! (Rasa-rasanya ada tak mana-mana syarikat buat hadiah cabutan bertuah untuk menang Honda Accord?)

Hari ni semasa membaca akhbar Utusan Malaysia, aku ternampak review pasal kereta ini. Sengaja aku copy-n-paste kat sini untuk tatapan semua.

Petikan daripada Utusan Malaysia
Oleh JOHARDY IBRAHIM
johardy.ibrahim@utusangroup.com.my

HONDA ACCORD mesti dimiliki

PENGENALAN generasi kelapan Accord bukan sekadar ditunggu-tunggu oleh peminat Honda tetapi juga masyarakat umum berikutan imej dan prestij Honda yang sering memperkenalkan inovasi praktikal dalam model-model barunya. Tentunya, Accord terbaru ini tidak mengecewakan.

Ketua Eksekutif Jurutera dari Honda R&D di Jepun, Kenzo Suzuki yang bertanggungjawab memperkembangkan Accord Generasi Kelapan ini berkata, beliau serta ahli pasukannya telah melawat serata dunia, termasuk Asia, untuk menjalankan penyelidikan pasaran berkenaan kemahuan para pengguna daripada sebuah sedan mewah.

“Daripada penyelidikan tersebut, kami mendapati sedan kelas mewah seperti Accord memenuhi keperluan untuk kedua-dua penggunaan peribadi dan perniagaan. Kami juga mendapati pelanggan-pelanggan Honda mahukan sedan mewah yang bukan sahaja seronok dipandu tetapi juga bangga untuk dimiliki,” katanya.

Dengan itu, hasrat Honda dalam memperkembangkan kenderaan baru ini adalah ‘untuk menambah lebih kemewahan dan keselesaan’ dan untuk mempertingkatkan ciri-ciri ‘Pemanduan Berkualiti’ Honda yang termasyhur.

Hasilnya adalah sedan berprestasi sofistikated yang dikembangkan berasaskan empat konsep - kereta yang Berkuasa dan Seronok untuk dipandu; memberikan keselesaan; memenuhi Standard Keselamatan Dunia serta mencapai Keberkesanan Bahan Api yang maksimum.

Ciri utama Accord Generasi kelapan termasuk gaya yang baru dan sofistikated, ciri-ciri dinamik dan prestasi maju - dibina terutamanya bagi memberi kenikmatan kepada pelanggan-pelanggan untuk memiliki sedan mewah dan berprestasi.

Ciri bahagian luar kereta mempunyai reka bentuk yang berketerampilan dan kukuh. Pada bahagian depan, menonjol keluar ke hadapan dengan jeriji enam mata yang lebih besar serta lampu hadapan yang panjang dan berbentuk tajam yang bergaya elegan.

Bahagian tepi kereta pula berbentuk seperti bahu yang tegap sasa menonjolkan gaya yang gagah. Bahagian belakang kabin berbentuk 3-D memberikan gaya kompak lagi sporty. Bentuk roda aloi yang kukuh berasaskan krom meningkatkan wajah kereta untuk penampilan yang lebih kemas dan berprestij.

Accord Serba Baru ini turut menyediakan ruang yang paling luas dalam barisan Accord. Dimensi kabin dibesarkan lagi untuk memberikan peningkatan 3.2 peratus ruang penumpang; jarak di antara pemandu dan penumpang depan meningkat kepada 40mm; dan penambahan ruang kaki di bahagian belakang menambahkan keselesaan kepada penumpang-penumpang belakang.

Secara keseluruhannya, ruang kabinnya adalah antara yang terbesar di kalangan kereta dalam kelasnya, termasuk buatan Eropah. Ini memberikan perasaan yang selesa dan kemewahan untuk kedua-dua pemandu dan juga penumpang- penumpang kereta.

Accord Serba Baru terdapat dalam tiga jenis enjin; pertama, 2.0-liter SOHC yang dipertingkatkan dan enjin 2.4-liter DOHC i-VTEC yang menawarkan keseimbangan antara prestasi dan penjimatan minyak, di mana model 2.4-liter memberikan kuasa enjin paling tinggi dalam kelasnya iaitu 180 ps; dan enjin 3.5-liter V6 i-VTEC VCM yang pertama dan paling berkuasa dalam barisan Accord dengan 275 ps.

Pemandu Accord juga akan berasa seronok dengan pengalaman pemanduan Variable Gear Ratio atau VGR Steering, suatu mekanisme yang memberikan kestabilan yang lebih baik, lebih lancar dan kawalan yang lebih responsif serta radius pusingan yang lebih kecil; Shift Hold Control, yang mengurangkan penukaran gear semasa membelok dan menyediakan pemecutan selepas mengambil selekoh; dan Transmisi Automatik 5 Kelajuan, yang menawarkan pemanduan yang lebih lancar.

Semua ini serta teknologi maju yang lain menjadikan Accord Serba Baru kereta sedan mewah yang seronok untuk dipandu yakni menawarkan pergerakan yang tepat dengan pemanduan yang linear dan tangkas serta daya pemecutan yang berkuasa dan prestasi pemanduan yang responsif. Sedan baru yang serba mewah ini turut menyediakan keselesaan dengan kabin yang lebih senyap dan lebih stabil untuk memberikan perjalanan yang selamat dan selesa.

Melalui pendekatan yang menyeluruh dan sentiasa dipertingkatkan terhadap keselamatan penumpang kenderaan dan pejalan kaki, Honda membawa ciri keselamatan ke hadapan lagi dengan menggabungkan semua model Accord baru dengan struktur badan Advanced Compatibility Engineering atau ACE, yang merupakan lanjutan daripada teknologi termaju G-Force Control (G-Con) daripada Honda.

Selain daripada teknologi termaju yang dikatakan, model Accord Serba Baru 2.0 liter dan 2.4 liter turut menampilkan Sistem Beg Udara masing-masing dengan adanya dua dan empat beg udara tersebut.

Model 3.5-liter V6 i-VTEC menggabungkan teknologi Variable Cylinder Management (VCM) yang dibangunkan Honda, yang membolehkan keseimbangan optimum antara kecekapan bahan api dan kuasa dengan menukar pembakaran sama ada dengan enam, empat atau tiga silinder berdasarkan keperluan dan keadaan pemanduan.

Honda Accord Serba Baru terdapat dalam lima warna: Polished Metal Metallic; Bold Beige Metallic; Nighthawk Black Pearl; Brilliant White; Silver Stone Metallic dan Alabaster Silver Metallic. Harganya ialah Accord 2.0 (RM141,800), Accord 2.4 (RM171,800) dan Accord 3.5 (RM249,800).

0 comments: