(Sepasang suami dan isteri yang merupakan petani, pulang ke rumah setelah berbelanja. Ketika mereka membuka barang perbelanjaan, seekor tikus memerhatikan gelagat mereka.Ternyata yang dibeli oleh petani hari adalah perangkap tikus. Sang tikus panik bukan kepalang. Tikus bergegas lari ke sarang ayam dan bertempik.
Tikus mengadu kepada ayam, “Ada perangkap tikus di rumah. Di rumah sekarang ada perangkap tikus. Ada perangkap tikus!”
“Tuan Tikus! Aku turut bersedih tapi ia tak ada kena-mengena dengan aku,” jawab ayam.
Tikus pergi menemui seekor kambing sambil berteriak seperti tadi.
“Aku pun turut bersimpati, tapi tidak ada yang boleh aku buat. Lagi pun hal ini tiada kena-mengena dengan aku,” jawab kambing dengan selamba.
Tikus menemui sapi dan mendapat jawapan yang sama seperti sebelumnya.
“Maafkan aku tikus. Perangkap itu tidak berbahaya buat aku sama sekali. Takkanlah sebesar aku ini boleh masuk perangkap tikus,” kata sapi yang sekali gus menerbitkan rasa kecewa di hati tikus.
Dengan rasa kecewa tikus berlari ke hutan menemui ular. Seperti yang sebelumnya juga, ular memperlekeh kebimbangan tikus.
Akhirnya, tikus kembali ke rumah dengan pasrah kerana mengetahui ia akan menghadapi bahaya seorang diri. Suatu malam, pemilik rumah terbangun mendengar perangkap tikusnya berbunyi menandakan umpan sudah mengena. Ketika melihat perangkap tikusnya, ternyata seekor ular berbisa yang jadi mangsa. Buntut ular yang terperangkap membuat ular semakin ganas dan menyerang isteri pemilik rumah.
Walaupun si suami sempat membunuh ular berbisa tersebut, isterinya tidak sempat diselamatkan. Si suami membawa isterinya ke rumah sakit.
Beberapa hari kemudian isterinya sudah boleh pulang, namun tetap sahaja demam.
Isterinya lalu minta dimasakkan sup kaki ayam oleh suaminya kerana percaya sup kaki ayam boleh mengurangkan demam. Tanpa berfikir panjang, si suami pun dengan segera menyembelih ayamnya untuk mendapatkan kaki ayam yang akan dibuat sup untuk isterinya.
Beberapa hari kemudian sakitnya tidak kunjung reda. Seorang teman menyarankan isteri petani untuk makan hati kambing. Ia lalu menyembelih kambingnya untuk mengambil hatinya. Masih juga isterinya tidak sembuh-sembuh dan akhirnya meninggal dunia. Ramai yang datang melawat jenazahnya. Kerana rasa sayang suami pada isterinya, tak sampai hati pula dia melihat orang ramai tak dijamu apa-apa. Tanpa berfikir panjang dia pun menyembelih sapinya untuk memberi makan orang-orang yang berziarah.
Dari kejauhan tikus menatap dengan penuh kesedihan. Tidak disangka, kawan-kawannya yang suatu waktu dahulu percaya perangkap tikus itu tidak ada kena mengena dengan mereka akhirnya melibatkan diri dan nyawa mereka juga...)
KISAH di atas merupakan sebuah kisah yang selalu diceritakan oleh ibu bapa, guru-guru di sekolah mahupun pakar motivasi yang berkaitan dengan sikap prihatin sesama manusia.
Prihatin merupakan satu sikap yang jika diamalkan membawa manfaat kepada semua pihak. Prihatin merupakan sikap mengambil berat atau mengambil perhatian terhadap sesuatu perkara.
Prihatin juga sering dikaitkan dengan sikap berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapat apa yang diimpikan. Prihatin mengandungi nilai simpati dan empati antara individu. Prihatin juga adalah silaturrahim. Dan apakah kaitannya sifat keprihatinan dengan parkir OKU ini? Mari kita ikuti urutan gambar yang saya rakamkan sendiri di parkir sebuah pasaraya.
Dalam masyarakat hari ini, sifat prihatin semakin longgar. Tidak kira sama ada berada di kampung, apatah lagi di bandar, sifat ini sudah semakin nipis kerana dihimpit dengan kesibukan individu yang bekerja, mengejar masa untuk menyudahkan tugas harian dan sebagainya sehingga terbitnya satu lagi sifat hasil dari ketiadaan nilai keprihatinan dalam diri, iaitu sifat mementingkan diri sendiri. Semasa membeli belah umpamanya, kita sentiasa cuba dapatkan tempat meletak kenderaan yang paling hampir dengan pintu utama. Jadi tentunya sesetengahnya akan menghindarkan perasaan prihatinnya terhadap OKU meskipun tempat letak kereta itu dikhasnya untuk golongan terbabit.
Kemungkinan nasib anda seperti ayam, kambing, sapi, dan ular seperti dalam kisah tikus di atas.
0 comments:
Post a Comment