Tuesday, May 27, 2008

Camcorder SW20 - Rakaman di Mana Sahaja


Tulisan di bawah yang kutulis untuk majalah eRing #38 keluaran Jun 2008 ini telah aku olah untuk kesesuaian bacaan blog.


Kali ini kukenalkan camcorder jenama Panasonic model SW20 yang mempunyai fungsi sememangnya havoc habis! Apa tidaknya, selain daripada mempunyai rupa bentuk yang cun, comel dan mudah digenggam oleh sesiapa sahaja sekalipun budak berumur 10 tahun, serta tahan lasak, ia juga dilengkapi dengan fungsi canggih seperti kalis air hingga kedalaman 1.5 meter, tahan hentakan hingga ketinggian 1.2 meter dan kalis habuk.

Dengan sokongan fungsi-fungsi tersebut, pengguna tidak perlu risau untuk membawa camcorder SW20 ini ke mana sahaja sekalipun bercuti di tepi pantai ataupun ke kolam renang. Malah jika terkena air laut atau hujan sekalipun, ia tidak akan mencacatkan camcorder ini atau kualiti rakaman. Dengan bilasan air yang bersih, pengguna boleh terus menyimpan camcorder ini.


Selain daripada itu, yang membuat aku begitu teruja setelah mengujipakai camcorder ini adalah kerana ia menggunakan sistem storan berasaskan kad memori. Dengan kad SD berkapasiti 2GD yang diuji, rakaman video berkualiti tinggi berjaya dirakam selama lebih kurang 30 minit. Bila rakaman video ditayangkan semula pada kaca televisyen bersaiz 29”, ia memberi kauliti gambar yang memuaskan. Menurut sumber yang dikeluarkan oleh Panasonic, dengan kapasiti 16GB kad memori SDHC, ia berupaya merakam video (dalam mod LP) sehingga 13 jam 20 minit! Wow, havoc tu!


Reka bentuk camcorder SW20 tidak disertakan dengan pemegang khas untuk genggaman semasa rakaman. Tetapi tali pelilit itu didatangkan berasingan. Ia boleh dipasang dan digunakan bagi tujuan memudahkan genggaman agar tidak mudah terlepas terutamanya ketika pengguna berada dalam air atau untuk kegiatan lasak.


Camcorder SW20 menawarkan dua pilihan warna iatu merah dan silver dengan harga RM1,599.00.


Spec.

Keunikan: Kalis air. Kalis habuk. Tahan hentakan.

Dimensi : 33.8 x 63.4 x 115.4mm

Berat : 246g dengan bateri dan kad memori SD

Optical Zoom: 10x

Saiz Skrin LCD: 2.7” Lebar

Format Rakaman : MPEG2 (video). VGA (pegun)

1 comments:

number442 said...

My Next Purchase Target. Murah sikit tak dapat ke Lym??