Friday, July 4, 2008

Audi A4 Milikku... [Part 1]

Pembuat kereta dari Jerman, Audi edaran Euromobil Sdn Bhd telah mengadakan sesi pandu uji khusus untuk media ke Melaka pada 2 dan 3 Julai. Sesi pandu uji ini membabitkan model terbaru mereka, Audi A4 1.8T yang baru dilancarkan pada 26 Jun oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum berangkat ke Melaka, seawal jam 9 pagi wakil media yang kesemuanya kaum lelaki, berkumpul di Audi Hangar, Glenmarie Shah Alam dan diberi taklimat ringkas tentang Audi A4 dari aspek teknikal dan cara pengendaliannya.

Taklimat itu juga turut menyentuh program pemanduan dan perjalanan yang dirancangkan. Wakil media dibahagi kepada beberapa kumpulan dengan empat peserta tiap kereta.

Aku cepat-cepat memilih kereta yang mewarna merah garang, kerana ia sesuai dengan karektor aku yang 'nakal'! Perjalanan ke Melaka dari Glenmarie Shah Alam itu dijangka 5 jam kerana tidak menggunakan lebuhraya secara sepenuhnya. Ia diselang-seli dengan jalan persekutuan.

Pemanduan adalah secara konvoi yang tidak terikat dengan jarak setiap kereta tetapi dibantu oleh penggunaan alatan GPS, peta dan walkie-talkie yang disediakan oleh penganjur. Peta atau lebih tepat ialah tulip yang disediakan mengimbau nostalgia semasa aku mengambil bahagian dalam acara treasure hunt puluhan tahun yang lalu.

Perjalanan ke Melaka melalui jalan persekutuan dan lebuhraya sejauh 284.2km. Jika menggunakan lebuhraya sepenuhnya, jarak pejalanan hanya 158km. Setelah peserta pertama memandu uji lebih kurang 66km, peserta kedua akan meneruskan perjalanan. Lokasi pertukaran pemandu pertama kami adalah di stesen minyak Mobil bertempat di Nilai pada lebih kurang jam 11 pagi.

Tepat jam 12 tengah hari, kami berhenti makan tengah hari di Restoran Sea View Village, Seremban. Sajian yang dihidangkan di ketiga-tiga meja wakil media dan penganjur cukup lazat. Aku lantak bagai nak rak bersama-sama tujuh rakan media semeja yang lain. Perut aku yang buncit ini semakin kelihatan buncit. Tak kisahlah. Sekali-sekala makan macam tak ingat dunia. Tetapi yang sayangnya, masih banyak lauk yang tak dapat dihabiskan kerana hidangan yang disajikan terlampau banyak. Malah, khabarnya ada lauk ikan kukus di meja rakan yang lain tidak luak. Sayangnya...!

Setelah makan, alangkah syoknya kalau dapat lelapkan mata. Tapi apakan daya, kami harus teruskan perjalanan. Sebagai penumpang yang duduk di sebelah pemandu, sambil menjadi navigator, aku sempat mengambil beberapa keping gambar kereta Audi A4 yang dipandu oleh rakan media yang lain. Audi A4 yang sporty ini tampil begitu gah di jalanraya!

Walau macam mana pun, aku lebih gemar Audi A4 yang berwarna merah garang ini. Ia kelihatan menarik, eksklusif dan unik selain daripada tampak elegen. Setelah lebih kurang 70km perjalanan yang dipandu uji oleh peserta kedua, kami berhenti di hentian sebelah Pedas-Linggi untuk menukar pemandu ketiga.

Semasa kami mengikuti jalan persekutuan yang menghala ke Gemencheh/Gemas ini, hujan renyai-renyai membasahi bumi. Namun ia tidak sesekali mengganggu pemanduan kami. Malah aku dapati wiper Audi A4 rupanya jenis automatik yang akan bergerak sama ada cepat atau lambat mengikut kelebatan hujan. Yakni, pemandu tidak perlu menukar kelajuan wiper ketika hujan lebat. Wiper itu sendiri dapat berfungsi secara automatik.

Setelah pemandu ketiga memandu sejauh 70.9km, maka tibalah giliran pemandu keempat membuat pandu uji pula. Siapa lagi, kalau bukan aku! Kami berhenti sejenak di Air Kuning untuk menukar pemandu. Ada yang rileks sambil menghisap rokok. Lapan buah Audi konvoi yang berhenti secara serentak ini telah menarik perhatian penduduk setempat. Malah aku kedengaran suara-suara kaki nombor yang teruja melihat kami sambil menjerit mahu beli nombor ekor.

Aku sejak dari pagi tadi menjadi penumpang tidak sabar-sabar untuk memandu uji sendiri Audi A4. Maklumlah, bukan sebarang orang yang mampu untuk memiliki sendiri Audi A4. Dengan tawaran harga RM235,000 bagi siri standard manakala RM260,000 bagi S-line yang akan ku pandu ini, nampaknya dalam waktu terdekat ini memang sukar untuk kumiliki.


Jadi dengan kesempatan yang ada selama 2 hari 1 malam, aku cuba tawan Audi A4 sebaik yang mungkin. Dari pekan Air Kuning menuju ke bandar Melaka (Hotel Majestic), jaraknya 77km. Yang bestnya, pecutan semasa memandu di lebuhraya memecah rekod pemanduan peribadi dengan kelajauan 215km/jam. Meski pun dalam kelajuan maksima, Audi A4 tetap memberi pemanduan yang selesa dan stabil di jalanraya.


Sekitar jam 3:30 petang, semua wakil media tiba ke destinasi Hotel Majestic, Melaka dalam keadaan yang selamat. Yang pasti, tentunya ramai antara kami yang penat. Tapi bagi aku, tugasan akan diteruskan dengan sesi fotografi di Tanjung Kling.


<...to be continued...>

0 comments: