Sunday, May 9, 2010

Apologi Buat Mama pada Hari Ibu di RTM

Setiap orang yang masih mempunyai ibu akan menyambut Hari Ibu yang jatuh pada 9 Mei 2010 dengan cara yang tersendiri. Sepanjang pengamatan saya ketika berjalan-jalan di pusat membeli belah mendapati ramai anak muda yang membawa orang tuanya untuk makan bersama. Ada juga dalam kalangan si bapa yang membeli beg tangan kepada si isteri sebagai hadiah.

Berbeza dengan saya. Ibu yang saya panggil mama berada di kampung. Banjaran Titiwangsa yang memisahkan kami tidak dijadikan alasan untuk tidak boleh menyambut Hari Ibu bersamanya. Saya meraikan Hari Ibu dengan cara yang istimewa tahun ini. :)

Saya mengambil peluang muncul di kaca TV nasional untuk meluahkan isi hati kepada mama melalui puisi. Khas buat mama, saya tulis puisi berjudul Epilog Apologi Buat Mama yang saya baca dalam rancangan Hujung Minggu Malaysia, TV1, RTM pada jam 8:30 pagi, 9 Mei 2010. Sekali gus, buat kali pertama juga saya 'menyumbangkan' suara dengan lagu Mandarin di hadapan jutaan khalayak penonton.


Epilog Apologi Buat Mama
Karya: Harlym Yeo

[Intro dengan lagu Mandarin 'Se Sang Ce You Ma Ma Hau']

Se sang ce you ma ma hau (世上只有妈妈好)
You ma ti hai ce siang ke pao (有妈的孩子像个宝)
Thou cin ma ma ti huai pau (投进了妈妈的怀抱)
Sing fuk siang pu liau (幸福享不了)

Kumandang kasih ibu
beralun melewati lagu itu
kuhayati dengan asyik
hatiku terusik

Di kejauhan ini
masih kuterasa bagaikan hangat dalam pelukanmu
walhal aku cuba sembunyi hangit kepalsuanku.

Maafkan daku, mama!

Kala daku taasuh menggapai kebijakan duniawi
sehingga terabai kebajikan famili
daku tidak pernah lupa nasihatmu
cuma sekadar alpa kerana desakan nafsu.

Maafkan daku, mama!

Kala bergelumang dalam gelombang hidup
memilih jalan sendiri tanpa restumu
pesananmu di hati sentiasa terukir
namun insan kerdil ini tak bisa melawan takdir.

Maafkan daku, mama!

Kala kuberseloroh seolah riang
tapi memberontak dalam diam
kerap berdusta dalam gurau senda
Merintih pedih perih dalam dunia sesumpahku
Sampai bila… aku sendiri pun tidak mahu tahu!

Maafkan daku, mama!

Kala perasaan ini diulit rindu tak berbingkai
gugusan harapan dan doa terangkai
agar epilog apologi ini akan terungkai.

Untuk kesekian kalinya
Maafkan daku, mama!
Publish Post



07 Mei 2010
Kuala Lumpur


CATATAN:

Lagu 'Se Sang Ce You Ma Ma Hau' di
http://www.youtube.com/watch?v=Fx6APEO3QeM&feature=related

Maksud lagu:
Ibulah yang terbaik di dunia ini
Anak yang mempunyai ibu bagaikan harta karun
Apabila berada dalam pelukan ibu
Kebahagiaan tidak terkata

Monday, May 3, 2010

Langkah Kejayaan di RTM

Hari Ahad berlalu dengan cepat apabila seawal 7:00 pagi saya harus berada di perkarangan Wisma TV, Angkasapuri, RTM, Kuala Lumpur untuk bersiap sedia bagi rakaman siaran langsung rancangan Hujung Minggu Malaysia (HMM), TV1.

Saya dijemput untuk menyerikan slot deklamasi puisi sempena Hari Pekerja. Untuk slot puisi pertama sebagai mukadimah rancangan tersebut yang dikeudarakan pada jam 7:31 pagi, saya memilih karya Sofya yang berjudul Langkah Kejayaan. Manakala slot puisi kedua yang dilangsungkan pada jam 8:45 pagi, pilihan saya ialah karya Goenawan Mohamad berjudul Lagu Pekerja Malam.

Apa yang tidak disangkakan adalah apabila berpeluang bersua muka dengan jutawan internet, Doktor Irfan Khairi yang menangani slot motivasi selepas 10 minat slot puisi saya. Sempat lagi saya merakamkan gambar kenangan sebelum beliau meninggalkan tempat rakaman ke acara yang lebih penting.

Selain itu, sebelum meninggalkan pekarangan RTM, saya mengambil kesempatan menumpang aura orang-orang hebat dengan bergambar bersama penerbit penyelaras RTM dan salah seorang pengacara HMM - Mispiah Karsahid (berbaju ungu - eh, sama warnalah dengan baju batik saya!) dan Jessica Ong (berbaju jingga).

Rasanya hari Ahad kali ini membayangkan langkah kejayaan saya kerana berpeluang menumpang glamour dengan orang-orang yang berpengaruh. Secara kebetulan, salah satu tajuk puisi yang baca juga bertajuk Langkah Kejayaan.

Berikut ialah puisi-puisi yang saya baca:


LANGKAH KEJAYAAN
Karya: Sofya

Hari ini
sama-sama kita lewati...
untuk beberapa tahun dahulu...
dan untuk beberapa tahun lagi....

Kita larik mimpi... yang panjang...
kita susun langkah... yang berderapan...
kita hitung hari-hari... yang mendatang...
kita pupuk tekad... yang utuh...
kita gapai bintang... yang gemerlapan....
kita sentuh bulan... yang tersenyum...
kita kucup kejayaan... yang menjelang...

kini kita...
bertandak mengikut rentak dan irama...
menghayun langkah seiringan
dengan cebisan azam
yang terlafaz dari awal...
kita sudahkan...
kita lengkapkan..
kita tunaikan...
kita kotakan..

dan kini pasti....
bintang di gengaman..
bulan jatuh ke riba....
mimpi tetapkan sudah...
langkahkan kehadapan...
janji dikota...
kejayaan...senyum pada kita


LAGU PEKERJA MALAM
Karya: Goenawan Mohamad

Lagu pekerja malam
di sayup-sayup embun
Antara dinamo menderam
Pantun demi pantun

Lagu pekerja malam
Lagu padat damai
Lagu tak terucapkan
Jika dua pun usai

Tangan yang hitam, tangan lelaki
Lengan melogam berpercik api
dan batu pun retak di lagu serak:
Majulah jalan, majulah setapak

Nada akan terulang-ulang
dan lampu putih pasi:
Panjang, alangkah panjang
Dini hari, o, dini hari!

Lagu pekerja malam
Lagu tiang-tiang besi
Lagu tak teralahkan
Memintas sepi

[1962]

Saturday, May 1, 2010

Pertanyaan Si Anak Kecil - Malam Puisi Riong Shah Alam


Malam Puisi Riong Shah Alam, Selangor semalam memberi pengalaman berharga kepada saya sebagai peminat seni puisi Melayu daripada kalangan bukan keturunan Melayu. Dan saya berbangga menjadi satu-satunya peserta bukan Melayu dalam program puisi bertemakan Wasilah Cinta Pencipta dan Manusia yang berlangsung di Laman Budaya, Taman Tasik Shah Alam, Selangor.

Menerusi karya tulisan Irma daripada Majalah Dewan Sastera (Mac 2010) berjudul 'Pertanyaan Si Anak Kecil', saya menjadikan penglibatan kali ini sebagai medan mengakrabkan diri dalam dunia puisi anjuran bersama Unit Sastera, Berita Harian dan Majlis Bandaraya Shah Alam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.


Pertanyaan Si Anak Kecil


Anak kecil itu bertanya
kita hidup sampai bila
masing-masing geleng kepala
susah untuk meneka bilakah ajal akan tiba.

Ada yang kata
logik akal orang tua berhijrah dahulu ke alam baka
mereka hidup sudah lama
sudah puas bergelumang noda.

Usah difikirkan dosa dan pahala
nanti terbengkalai semua kerja
pintu taubat sentiasa terbuka
tunggulah dahulu sementara masih bertenaga.

Anak kecil masih bertanya
kenapa ramai yang tidak sayang nyawa
di jalan raya, di rumah pangsa atau di mana saja
jadi tempat mengambil nyawa
secara paksa atau sukarela.

Anak kecil itu terus bertanya
zaman sekarang zaman siber
tidak bolehkah ditangguhkan kematian
tidak bolehkah diputar roda kehidupan
segala pakar pengemudi teknologi
dari hari ke hari mencari pelbagai teori
tapi ada perkara sukar diramal
hidup, mati, jodoh pertemuan
melengkapi putaran hidup anak Adam.

Irma
Dewan Sastera (Mac 2010)


Nota:
Gambar-gambar sekitar Malam Puisi Riong Shah Alam di http://tinyurl.com/PuisiRiong
Liputan sebelum acara di Berita Harian.