Thursday, November 29, 2007

Cabutan Bertuah atau Usaha yang Berbuah?

Dalam satu-satu acara, lazimnya orang yang dianggap bertuah adalah tatkala namanya dipanggil apabila kad nama dicabut antara puluhan kad nama yang diterima semasa pendaftaran. Individu yang dikenal pasti akan terus diberi hadiah yang ditawarkan. Lain pula kaedah yang dipraktikkan oleh Philips. Apakah yang lain daripada yang lainnya cabutan bertuah dalam acara Philips ni? (Gambar di atas ialah hadiah-hadiah yang bakal dimenangi oleh wakil media.)

Tempoh hari pada majlis pelancaran pencukur Philips 800 Series pada 25 Okt 2007, bertempat di ruang legar Cineleisure, beberapa wakil media dijemput ke pentas untuk menerima hadiah yang ditawarkan. Sebelum menerima hadiah terbabit, individu berkenaan harus mengambil bahagian dalam aktiviti games yang disediakan. Biasanya games yang mudah aja. Tapi bila dah bersaing, tentu ada yang menang, dan ada yang kalah. Menang kalah pun tetap dapat hadiah. Si pemenang akan bawa pulang hadiah yang dianggap lebih lumayan dari segi nilainya.

Aku terpilih dalam sesi terakhir cabutan bertuah pada pelancaran itu tempoh hari. Misinya kena teka jawapan yang betul dalam tempoh tertentu (aku tak ingat… 60 saat atau 3 minit), apabila diberi clue melalui ucapan atau perbuatan tanpa menyebut jawapan perkataan yang harus diteka itu. Dalam tempoh itu, aku berjaya menjawab lima soalan dengan betul (gambar di atas, Mr. MC menunjukkan lima jari yakni lima soalan dijawab dengan tepat dan bukannya aksi nak menampar aku lima kali). Berdebar-debar juga sebab aku peserta pertama. Bila semua peserta lain dah buat, keputusannya aku menjuarai pertandingan itu dan layak menang seunit pencukur HQ6090 bernilai ratusan ringgit (gambar di bawah menunjukkan aku yang kontrol macho menerima hadiah daripada wakil Philips. Yang mencelah kat tengah-tengah tu ialah co-partner aku dalam game).



Pada majlis pelancaran pencukur siri Arcitec di Mystique, Cineleisure semalam, sekali lagi aku menjadi orang yang terakhir dipilih untuk ‘dipermainkan’ setelah beberapa orang wakil media dah angkat kaki. Abang Eddy Rahman, kawan media akrab aku dari Sabah Publishing House awal-awal lagi dah blah kerana penat. Maklumlah, esok bukannya cuti kan…?

Majlis dijadualkan sepatutnya bermula pada 7 malam tapi sehingga 7:45 malam barulah ucapan dimulakan oleh Eddie Ong, General Manager of Consumer Business Organisation (gambar di atas di tengah sekali) . Seterusnya berlangsunglah pelancaran produk pencukur Philips Arcitec (gambar bawah) dengan memperagakan jejaka macho pelbagai gaya hidup seperti profesional, eksekutif, ahli sukan, pengembara dan yang gemar bersosial. Dinner bermula jam 8:00 malam apabila perut aku dah berkali-kali berkeroncong semasa media briefing diadakan. Sejurus selepas media briefing tamat, aku terus lantak secukup-cukupnya walau pun makanan spaghetti yang dihidang tu bukannya kegemaran aku. Lapar punya pasal, boh je lah! Janji kenyang dan perut yang boroi semakin menampakkan keboroiannya!

Stage games yang pertama dimulakan dengan memilih peserta kaum wanita melalui cabutan bertuah tapi nampaknya ramai yang dah balik. Maka penganjur terpaksalah ‘merelakan’penyertaan kaum Adam untuk mengambil bahagian. Tiga orang lelaki dan seorang wanita dikehendaki menyusun segala benda yang ada pada badan mereka di atas lantai. Sesiapa yang terlebih dahulu tiba di titik akhir dianggap sebagai pemenang. Pemenang nampaknya berpihak kepada kaum Hawa. Juara dapat hadiah utama berupa Shaver Arcitec yang bernilai RM999 (gambar di atas sebelah kanan). Bertuahnya badan bila dapat hadiah utama tu walau pun aku rasa dia bukannya boleh guna pun. Kalau dia nak kasi kat aku, mesti aku tak keberatan. Cheh! Sapa aku??!!

Kemudiannya nama-nama wakil media dipanggil lagi untuk permainan seterusnya. Kali ini namaku disebut dan aku sebenarnya merupakan peserta terakhir yang dipilih kerana ramai yang dah balik. Kira nasib mereka baiklah juga kerana aku belum balik. Ehh… nasib siapa yang baik ni, aku ke mereka? Ahhh… tak kisahlah. Sebelum permainan dimulakan, MC bertanya beberapa soalan yang dia anggap sebagai agak peribadi seperti latar belakang peserta berkaitan penyakit lelah, lemah jantung dan bilakah kali terakhir bersenam. Aku yang dah lama… errr… tak pernah… exercise ni, selamba jawab tak leh nak kira bila kali terakhir. Seolah-olah memberi jawapan yang dah lama tak exercise sambil kepala hotak aku dok fikir apa yang akan dikenakan kali ini. Rupa-rupanya kami dikehendaki membuat push-up. Tempoh tiga puluh saat diberi dan sesiapa yang buat push-up paling banyak dianggap pemenang. Alamak… bolehkah aku lakukan ni? Member-member lain jawab masa ditanya bilakah kali terakhir bersenam, rata-rata dengan selamba bagitau… semalam, minggu lepas, sebulan yang lepas… dan aku jawab… tak pernah dengan nada selamba-boroiku! Dihimpit pula dengan permintaan untuk memulakan sesi permainan ini. Lagilah gelabah beb! Bolehkah aku mencapai misi untuk menyandang juara bagi melayakkan aku memenangi pencukur terbaru dengan reka bentuk ergonomik dan serba maju yang didatangkan dengan badan ultra nipis yang mempunyai tiga kepala putar tiga trek terpasang pada lehernya yang ramping? Pencukur elektrik ini juga merupakan yang pertama dilengkapi sistem lenturan dan tindakan pangsian yang unik, orang putih cakap flex & pivot action system (promo produk ni sikit). Lungsuri laman sesawang (ucapan yang biasa aku dengar melalui Radio 24) http://www.philips.com/ untuk maklumat lebih lanjut. Malas aku nak cerita banyak kat sini. Cukuplah sekadar aku katakan model ini merupakan model pencukur yang terkini, teratas dan termahal dalam siri pencukur yang dikeluarkan Philips setakat ini. Harganya pun bukan calang-calang orang yang mampu beli. Di Semenanjung Malaysia, harga runcit yang disyorkan RM999 untuk model RQ1090 dan RM799 untuk model RQ1060. Sebab itulah Philips Arcitec ini disasarkan kepada pengguna profesional berusia antara 30 hingga 45 tahun yang mementingkan gaya, kualiti dan fungsi. Lebih kurang profile akulah tu! Macam mana pun, dengan push-up sebanyak 35 kali dalam tempoh 30 saat mendahului pesaing terdekat yang memperolehi 26 push-up. Sekali gus ia melayakkan aku memenangi hadiah idaman tu. Syukurlah! No pain no gain rupanya. Lenguh otot-otot aku yang tak pernah exercise ni! (Gambar di bawah menunjukkan aku sedang berjabat tangan yang lenguh ini dengan Chong Nyen Hin, Sales Manager Philips.)

Aku meninggalkan majlis pada jam 9:10 malam walau pun masih ada acara stage games (gambar di bawah memperlihatkan permainan yang hanya sesuai kepada mereka yang dah baligh) untuk para tetamu dan majlis penyampaian hadiah untuk Philips Reach the Unreachable Race yang dijadualkan tamat jam 10 malam. Kena blah awal. Nak buat cam mana, esok aku kerja dengan bapa orang. Kalau kerja dengan bapa sendiri, lain la cerita.

Sepanjang perjalanan dan memandu pulang ke Shah Alam, aku terfikir... bukan mudah nak menang cabutan bertuah dalam majlis pelancaran Philips lebih-lebih lagi untuk hadiah utama. Kena berusaha. Tapi aku dah ‘melayakkan’ diri memenangi tempat pertama di kedua-dua majlis anjuran Philips yang berasingan. Adakah ini dianggap sebagai nasib yang menyebelahi atau usahaku sendiri...???

Sunday, November 25, 2007

Manga Suki: Medan Interaksi Peminat Seni

“Ciri-ciri karya komik yang baik adalah bergantung pada gabungan elemen kreativiti, seni dan penceritaan,” kata KC Leo salah seorang juri yang menghakimi hasil karya peserta dalam sebuah Pertandingan Lukisan Komik Manga anjuran Jabatan Ilustrasi, The One Academy (TOA), sebuah kolej swasta seni di Bandar Sunway pada 24 November 2007.

Karya johan Pertandingan Lukisan Komik Manga, Lee Chin Horng yang memenangi peralatan melukis digital Wacom bernilai lebih RM1,000, mempunyai penguasaan yang baik secara keseluruhan dari segi kreativiti, seni dan penceritaan.


Sebagai salah satu kaedah mempromosikan kursus Diploma Ilustrasi yang ditawarkan di kolej tersebut, Leo yang juga merupakan ketua Jabatan Ilustrasi bersama-sama barisan pensyarah telah berjaya menghimpunkan lebih 100 karya komik manga yang dihasilkan oleh 24 pelukis komik manga tempatan daripada kalangan pelajar kolej dan juga pelukis muda profesional tempatan, dalam sebuah pameran seni & komik yang dikenali sebagai Manga Suki. Di samping pameran, demonstrasi lukisan digital, bazaar komik, sesi ceramah dan pertandingan melukis komik turut diadakan. Pameran Seni & Komik Manga Suki yang diadakan di The One Gallery, Bandar Sunway (sebelah Sunway Pyramid) terbuka secara percuma kepada para pelajar dan orang awam dari 6 hingga 30 November 2007 itu telah menjadi medan berinteraksi bagi peminat manga petang itu.

Sempena majlis penyampaian hadiah, sesi ceramah oleh pelukis manga profesional tempatan, Ben Wong diadakan bagi menyuntik semangat peminat komik manga di kalangan pelajar kolej dan orang awam. Dalam sesi ceramahnya, Ben berkongsi pengalamannya sebagai pelukis manga yang bukan sahaja pernah menerpa nama sebagai pelukis berbakat di majalah tempatan malah pernah memenangi Anugerah Manga Antarabangsa di Jepun baru-baru ini.

“Puncak kegemilangan komik di Jepun berada pada tahap merosot akibat pendedahan media baru seperti internet yang sangat meluas. Justeru itu, mereka mensasarkan pasaran komik ke Asia Pasifik seperti Malaysia. Jadi tidak hairan, dalam waktu terdekat atau lima tahun akan datang, tertubuhnya sebuah produksi Jepun yang berpangkalan di tanah air. Sebagai pelukis tempatan, kita perlu bersedia melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran dalam bidang terbabit demi menyahut cabaran ini,” jelas Ben ketika diminta memberi pandangan terhadap senario industri komik tempatan dan antarabangsa.

Ben Wong beranggapan sebagai pelukis harus memberi komitmen bukan sahaja pada seni penghasilan karya tetapi juga tumpuan dan kepekaan terhadap faktor pemasaran atau permintaan dan cita rasa sasaran pembaca.

Dengan teknologi yang semakin canggih, selain daripada perisian komputer, pelbagai peralatan boleh diguna pakai dalam penghasilan karya komik. Antara lain ialah peralatan melukis yang berupa papan melukis berjenama Wacom. Sehubungan itu, sempena dengan acara pameran ini, Wacom dan pengedarnya GrandTech Systems turut menaja peralatan tersebut yang bernilai lebih RM3,000 kepada para pemenang utama Pertandingan Lukisan Komik Manga.

Para pemenang dan penaja bergambar kenang-kenangan semasa majlis penyampaian hadiah bersama Leo (tiga dari kiri yang berdiri di belakang) dan Ben Wong (empat dari kiri yang berdiri di belakang).

“Pameran yang bertemakan ilustrasi yang berikutnya dijadualkan pada tahun depan sekitar bulan April ‘08 yang akan lebih menekankan seni 2D & 3D. Malah kami akan menjemput Benjamin, salah seorang pelukis seni digital yang terkemuka di peringkat antarabangsa untuk acara taklimat seni digital kepada para pelajar kolej,” ujar Leo ketika bertemu di bazaar komik selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang tadi.

Bazaar Komik menawarkan pelbagai produksi hasil karya peminat dan pelukis komik manga kepada para pengunjung.


Friday, November 23, 2007

Rezeki Deepavali... Tuah Hari Raya Haji

, Bermula pada malam 7 November 2007 iaitu malam Deepavali, tanpa disangka walau sentiasa mengharap agar kad nama ku dipilih pada malam Media Appreciation Night anjuran Sungei Wang Plaza (SWP), untuk memenangi cabutan bertuah, dan sesungguhnya rezeki menyebelahi aku! Tanpa disangka walau penuh mengharap, tuah juga menyebelahi aku lagi hari ini!

Semasa menghadiri pelancaran Motorola V9, sebagai salah satu kaedah mendekatkan pihak media dengan produk yang dilancarkan, pihak media ditugaskan untuk melengkapkan jawapan kuiz bagi melayakkan peserta mengambil bahagian dalam cabutan bertuah. Tanpa banyak songeh, aku menjalankan tanggungjawab penuh dedikasi, mengisi semua jawapan dan meletakkan kad jawapan dalam bekas yang disediakan. Sambil meletakkan kad itu, aku sempat berseloroh dengan Eric Chong, Area Director, Mobile Devices, Motorola Electronics Sdn Bhd (Motorola) agar memilih aku sebagai pemenang Motorola V9 yang baru dilancarkan itu. Kami difahamkan hanya 3 orang pemenang akan dipilih. Adakah aku menjadi salah seorang daripadanya? Peluang ada... tapi 1/30 atau barangkali 1/50! Aiman tak kisah... aku berusaha mengharap lagi dan bergurau dengan Zul (nama mesra untuk Zulkifli Mat Jusoh) Marketing Manager, Mobile Devices Business, Motorola agar menyebut namaku walau pun kad orang lain yang dicabut. Nampak sangat aku desperado. Tentu sekali Zul tak buat macam tu. Kalau ianya berlaku, orang yang patut menang tu tentu akan guna V9 yang nipis 13.4mm tu sembelih aku seperti tayangan iklan v9.

Dua telefon bimbit dah dihadiahkan, tinggal satu lagi yang akan dicabut kad pemenangnya oleh Carie Ho, Assistant Marketing Manager, Personel Communications Sector, Motorola. Inilah peluang terakhir aku untuk menang. Tak pun, kena balik dengan hampa setelah banyak melantak cock-tail dan minum bergelas-gelas air gas yang disediakan. Nasib menyebelahi aku! Impian menjadi kenyataan kerana nama syarikat yang disebut dahulu telah membuatkan aku teruja kerana Si Zaleha, Sub Editor majalah Ering tak ambil bahagian. "Dah tentu lah aku yang menang," jerit hatiku. Belum pun namaku disebut, aku dah bersorak kegirangan seperti orang separuh gila. Bebanyak terima kasih kepada Motorola yang menghadiahkan aku Motorola RAZR V9 yang berharga RM1,888.00, yang akan berada di pasaran mulai 20 Disember 2007. (Gambar di bawah sebelah aku tu ialah Carie Ho, Assistant Marketing Manger, Personal Communications Sector, Motorola Electronics Sdn Bhd.)

Emmm... nampaknya Deepavali menang alat mengurut OSIM di majlis SWP dan Hari Raya Haji menang Moto V9 di majlis Motorola... dan apa yang akan kumenangi pula pada sambutan X'mas ni ek?!!