“Ciri-ciri karya komik yang baik adalah bergantung pada gabungan elemen kreativiti, seni dan penceritaan,” kata KC Leo salah seorang juri yang menghakimi hasil karya peserta dalam sebuah Pertandingan Lukisan Komik Manga anjuran Jabatan Ilustrasi, The One Academy (TOA), sebuah kolej swasta seni di Bandar Sunway pada 24 November 2007.
Karya johan Pertandingan Lukisan Komik Manga, Lee Chin Horng yang memenangi peralatan melukis digital Wacom bernilai lebih RM1,000, mempunyai penguasaan yang baik secara keseluruhan dari segi kreativiti, seni dan penceritaan.
Sebagai salah satu kaedah mempromosikan kursus Diploma Ilustrasi yang ditawarkan di kolej tersebut, Leo yang juga merupakan ketua Jabatan Ilustrasi bersama-sama barisan pensyarah telah berjaya menghimpunkan lebih 100 karya komik manga yang dihasilkan oleh 24 pelukis komik manga tempatan daripada kalangan pelajar kolej dan juga pelukis muda profesional tempatan, dalam sebuah pameran seni & komik yang dikenali sebagai Manga Suki. Di samping pameran, demonstrasi lukisan digital, bazaar komik, sesi ceramah dan pertandingan melukis komik turut diadakan. Pameran Seni & Komik Manga Suki yang diadakan di The One Gallery, Bandar Sunway (sebelah Sunway Pyramid) terbuka secara percuma kepada para pelajar dan orang awam dari 6 hingga 30 November 2007 itu telah menjadi medan berinteraksi bagi peminat manga petang itu.
Sempena majlis penyampaian hadiah, sesi ceramah oleh pelukis manga profesional tempatan, Ben Wong diadakan bagi menyuntik semangat peminat komik manga di kalangan pelajar kolej dan orang awam. Dalam sesi ceramahnya, Ben berkongsi pengalamannya sebagai pelukis manga yang bukan sahaja pernah menerpa nama sebagai pelukis berbakat di majalah tempatan malah pernah memenangi Anugerah Manga Antarabangsa di Jepun baru-baru ini.
“Puncak kegemilangan komik di Jepun berada pada tahap merosot akibat pendedahan media baru seperti internet yang sangat meluas. Justeru itu, mereka mensasarkan pasaran komik ke Asia Pasifik seperti Malaysia. Jadi tidak hairan, dalam waktu terdekat atau lima tahun akan datang, tertubuhnya sebuah produksi Jepun yang berpangkalan di tanah air. Sebagai pelukis tempatan, kita perlu bersedia melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran dalam bidang terbabit demi menyahut cabaran ini,” jelas Ben ketika diminta memberi pandangan terhadap senario industri komik tempatan dan antarabangsa.
Ben Wong beranggapan sebagai pelukis harus memberi komitmen bukan sahaja pada seni penghasilan karya tetapi juga tumpuan dan kepekaan terhadap faktor pemasaran atau permintaan dan cita rasa sasaran pembaca.
Dengan teknologi yang semakin canggih, selain daripada perisian komputer, pelbagai peralatan boleh diguna pakai dalam penghasilan karya komik. Antara lain ialah peralatan melukis yang berupa papan melukis berjenama Wacom. Sehubungan itu, sempena dengan acara pameran ini, Wacom dan pengedarnya GrandTech Systems turut menaja peralatan tersebut yang bernilai lebih RM3,000 kepada para pemenang utama Pertandingan Lukisan Komik Manga.
Para pemenang dan penaja bergambar kenang-kenangan semasa majlis penyampaian hadiah bersama Leo (tiga dari kiri yang berdiri di belakang) dan Ben Wong (empat dari kiri yang berdiri di belakang).
“Pameran yang bertemakan ilustrasi yang berikutnya dijadualkan pada tahun depan sekitar bulan April ‘08 yang akan lebih menekankan seni 2D & 3D. Malah kami akan menjemput Benjamin, salah seorang pelukis seni digital yang terkemuka di peringkat antarabangsa untuk acara taklimat seni digital kepada para pelajar kolej,” ujar Leo ketika bertemu di bazaar komik selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang tadi.
Bazaar Komik menawarkan pelbagai produksi hasil karya peminat dan pelukis komik manga kepada para pengunjung.
0 comments:
Post a Comment