Friday, April 11, 2008

MUOI Ghost Portrait - Sebuah Cerita Seram Korea-Vietnam


Flem: MUOI Ghost Portrait
Tarikh mula tayangan: 24 April 2008
Negara: Korea Selatan
Pengarah: Tae-gyeong Kim
Dibintangi oleh: An Jo, Ye-ryeon Cha

Sinopsis

Yoon-hee, seorang penulis novel begitu terdesak untuk mendapatkan idea bagi karya terbarunya dan dari situlah beliau kebetulan terdengar kisah yang diceritakan oleh Seo Yen, iaitu rakannya yang berasal dari Vietnam, kisah yang menarik minatnya tentang legenda potret Muoi. Dendam lama membuatkan Yoon-hee ragu-ragu untuk pergi ke Vietnam bagi bertemu dengan Seo-Yeon. Namun, terpegun dengan kisah potret tersebut seperti yang diceritakan oleh Seo-yeon berulang-ulang kali, Yoon-hee menuju ke Vietnam bagi membongkar legenda potret yang berusia hampir seabad lamanya iu. Yoon-hee tersentak dengan rupa Seo-Yeon yang agak berbeza, keayuannya memukau tidak seperti dahulu namun begitu ketibaannya tetap dialu-alukan oleh Seo-yeon. Dalam usahanya menyingkap misteri Muoi, Vietnam yang merupakan destinasi yang begitu eksotik telah bertukar menjadi pentas untuk mimpi ngeri yang nyata, dan rahsia tentang Muoi terkubur begitu sahaja seolah-olah tidak akan mampu dibongkar.

Tentang Filem

Seorang wanita muda bernama Yoon-hee di bawah tekanan kerana didesak-desak oleh penyunting novel beliau agar menghasilkan sesuatu yang baru dan menarik untuk novel terbarunya. Beliau langsung tidak menghasilkan sebarang buku untuk diterbitkan selama tiga tahun dan sememangnya beliau mengakuinya. Harapannya muncul apabila teman lamanya Seo-yeon menghubungi beliau melalui telefon dari Vietnam. Seo-yeon memberitahu Yoon-hee tentang kisah dongeng tempatan di Vietnam yang berkisar tentang seorang gadis bernama “Muoi” dan potretnya yang berhantu. Kebetulan, dalam novel terdahulu Yoon-hee, beliau ada menulis sebuah kisah semi-autobiografi tentang temannya itu bertajuk “Rahsia & Penipuan”. Dalam buku tersebut, Seo-yeon digambarkan sebagai seorang yang mempunyai sikap yang sangat buruk, namun Yoon-hee yakin yang Seo-yeon tidak mungkin membacanya kerana temannya itu telah bermastautin di Vietnam bertahun lamanya. Yoon-hee terbang ke Vietnam dengan begitu bersemangat bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang Muoi.

Legenda menyebut bahawa seabad yang lalu, Muoi dilahirkan sebagai seorang kanak-kanak yang normal namun dibenci oleh orang kampung dan hidup tersisih, bersendirian. Beliau jatuh cinta dengan seorang pelukis bernama Nuen, namun Nuen telahpun memiliki tunang yang kaya-raya dan begitu cemburu dan kejam. Apabila tunangnya mendapat tahu tentang hubungan antara keduanya, beliau telah bertindak kejam dengan mematahkan kaki Muoi sementara wajahnya pula dicacatkan tanpa belas kasihan. Tidak lama kemudian, pada hari ke-15 dalam kalendar masyarakat Cina, Muoi membunuh diri dengan menggantungkan dirinya dan rohnya bergentayangan bagi membalas dendam. Sami-sami kampung akhirnya berjaya juga menangkap roh Muoi yang bersifat pendendam dan mengurungnya dalam potretnya sendiri. Sekarang, rohnya telah berjaya lolos dan terpulang kepada Yoon-hee untuk menghurai kebenaran di sebalik misteri tersebut sebelum sumpahan tersebut berbalik kepada dirinya sendiri dan memperjudikan nyawanya.

Filem ini sendiri merupakan usahasama antara produksi Korea-Vietnam dengan hampir keseluruhan penggambaran filem dilakukan di Vietnam. Visual filem ini begitu menarik dan kesan khasnya begitu mengagumkan. Aspek filem yang mengejutkan adalah prestasi lakonan bintang utamanya yang begitu berkesan. An Jo melakukan watak utamanya iaitu Yoon-Hee. Kali terakhir beliau muncul dalam filem komedi yang berkisar tentang rentasan masa iaitu “Project Makeover”. Kali ini beliau berjaya keluar daripada watak stereotaip gadis remaja yang disukai ramai dan memainkan wataknya dengan berkesan – bila diminta mengilai seperti pontianak belaiu tanpa rasa malu melakukannya, dan ia memang semulajadi. Watak lawannya iaitu Ye-ryeon Cha, kali terakhir muncul dalam filem “A Bloody Aria”, kali ini memainkan watak yang agak kaku lalu lakonannya tidak begitu dinamik, namun begitu beliau tetap mampu memberikan elemen misteri untuk watak yang dilakukannya.

MUOI Ghost Portrait merupakan kisah menarik bertitik-tolak dari legenda Muoi, serta rangkaian kejadian misteri di sepanjang filem. Lakonan berkesan An Jo menghasilkan filem seram yang mengujakan sama seperti tagline nya “Kematian merupakan permulaan bagi sumpahan”.

Reaksi penonton Vietnam

Muoi Ghost Portrait dianggap sebagai filem seram pertama Vietnam kerana pihak berkuasa ragu-ragu untuk memberi keizinan bagi menghasilkan filem-filem dengan tema tahyul.

Selepas dikaji, ia mendapat bantahan dari pihak Biro Perfileman Vietnam kerana kandungan filem yang dianggap tidak sesuai, dan menyebabkan kelewatan untuk tayangan di Vietnam. Ini menyebabkan filem Muoi Ghost Portrait jatuh kekedudukan kedua dengan filem Ngoi Nha Ma Am / Suoi Oan Hon (Haunted House/Ghosted Stream) di mana ia mula ditayangkan sekitar Ogos telah berjaya memintas dan mendapat jolokan filem seram pertama Vietnam.

Akhirnya, filem tersebut ditayangkan pada 24 Disember 2007 sebagai filem pertama dalam sejarah perfileman Vietnam mendapat klasifikasi: ‘untuk tontonan umum kecuali bawah 16 tahun’. Bukan sekadar sekatan umur, beberapa babak dalam Muoi juga terpaksa dipotong di bawah arahan biro yang mana telah menjejaskan keaslian filem tersebut.

Anugerah-anugerah

Di Golden Kite Awards (bersamaan Anugerah Oscar versi Vietnam) ke-7 tahun 2008, Phuoc Sang Films memilih untuk menghantar filem Muoi Ghost Portrait untuk dipertandingkan namun mencetuskan kontroversi kerana ia bukan seratus-peratus filem asli Vietnam (hampir keseluruhan filem merupakan produksi Korea). Walaubagaimanapun, filem ini tetap berjaya menggondol anugerah Sinematografi dan Bunyian Terbaik.

Fakta menarik

"Muoi" bermaksud nombor 10 dalam Bahasa Vietnam. Namanya merupakan indikasi bahawa beliau merupakan anak kesepuluh dalam keluarga. Gelaran sebegini popular di kawasan pedalaman Vietnam Utara.

95% produksi filem dilakukan di Vietnam. Walaubagaimanapun, tiada zon yang tepat disebut dalam filem tersebut; kerana ia merangkumi pelbagai kawasan iaitu Da Lat, Da Nang, My Son, Hoi An dan Bandaraya Ho Chi Minh.

0 comments: