Saturday, March 7, 2009

Takhta Raja Lawak dirembat SEPAH dengan Lawak yang Mengengat & Aksi yang Ligat

Penganugerahan gelaran Raja Lawak ASTRO musim ketiga kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila ia dimenangi oleh peserta berkumpulan, SEPAH yang dianggotai oleh Shahmira Muhamad, 24, Mohd Nadzri Zainal Abidin dan Mohd Noor Murad, 23, sekali gus mengenepikan dua pesaing lain, Nuur Jihan Musa, 25, di tempat kedua dan Mohd Amirullah Azmi (Amir I’m Sorry), 20, di tempat ketiga.

Aku sudah dapat menjangka kemenangan kumpulan SEPAH ini seawal 8:30 malam lagi apabila melihat keriuhan dan sambutan para penyokong kumpulan tersebut semasa berada dalam dewan malam tadi.

Kemenangan tempat pertama yang mengumpul 48.1% undian SMS membolehkan kumpulan SEPAH membawa pulang sebuah kereta berjenama Citroen Picasso, wang tunai RM20,000, barang elektrik dan trofi. Khabarnya mereka tak akan menjual kereta yang mempunyai nilai sentimental tersebut walau pun aku sendiri mengganggap ia lebih realistik jika kereta itu dijual dan wang dilaburkan dalam unit trust, ASB atau yang sewaktu dengannya. Menyentuh tentang persembahan kumpulan SEPAH malam tadi, sesungguhnya ia memberi kesan lawak yang menakjubkan. Aksi mereka yang ligat dengan disusuli oleh isi yang padat serta lawak yang benar-benar menyengat ini, bukan pada diri aku sahaja, malah kelihatan Zaibo selaku juri tetap juga gelak terbahak-bahak selain daripada tepukan dan sorakan gemuruh para penonton di dewan. Syabas SEPAH!

Manakala pemenang wanita tunggal, Jihan yang berjaya mendapat tempat kedua dengan undian SMS sebanyak 30.2% berjaya memenangi motosikal berjenama Naza Blade 250R selain daripada wang tunai RM14,000, barangan elektrik dan trofi. Alahai Jihan... nampaknya kamu ada peluang jadi minah rempitlah selepas ini. Tapi kalau polis tahan, aku cadangkan kamu bagitau je polis tu yang motosikal tu..."Man Belon punya...!", tiru sketsa Nabil-Johan-Zizan semasa menunggu keputusan diumumkan malam tadi tu. Oh ya... cerita pasal sketsa ni, terlupa pula aku nak tanya penerbit, ke mana hilangnya juara RL musim pertama Si Yus tu? Dah kena tangkap dek jin kot? Hilang tanpa berita, sepi tanpa khabar je?

Penyandang tempat ketiga pula ialah Amir yang kelihatan selesa dengan kedudukannya. Beliau berjaya membawa pulang wang tunai RM8,000, barangan elektrik dan trofi. Tahniah ore kalete kito. Sesungguhnya wang tunai yang dimenangi Amir lebih mewah daripada wang tunai yang dimenangi oleh kumpulan SEPAH kerana SEPAH terpaksa membahagikan wang kemenangan itu dengan tiga orang. Jadi Amir lebih kaya daripada ahli kumpulan SEPAH!. Walau apa pun Amir, ikhlas daripada aku, demo keno banyok belajor lagi kalu nok berjayo dale arena lawok atau dunio hibore ni. Kejayaan bukan setakat mendapat sambutan di atas pentas atau memperbaiki kelemahan sepertimana yang ditegur oleh para juri sebelum ini, tapi kejayaan Amir juga terletak pada kaedah berkomunikasi dengan para media dan para peminat kelak. Aku terkesan, Amir kelihatan tidak bersedia semasa berinteraksi dengan pihak media ketika sidang akhbar yang diadakan sejurus selepas pertandingan akhir malam tadi. I’m sorry…!

0 comments: