Monday, March 24, 2008

Ferrari Ganti Eternity

Bau harum wangian CK Eternity sesungguhnya membuatkan diriku lebih berkeyakinan bila berada antara khalayak ramai. Botol besar yang selalu aku guna dah habis berbulan-bulan lamanya. La ni aku dok guna dan bawa ke mana-mana dalam botol comel CK yang aku dapat sebagai hadiah masa beli musim promosi CK kat Parkson, Sunway Pyramid. Entah bila… tahun lepas kot?!

“Bilalah agaknya nak beli Eternity yang baru ni?” Persoalan yang sentiasa bermain-main dalam mindaku.

“Bajet dahlah asyik lari je…. Lagipun dah lama CK tak buat promosi bagi hadiah wangian Eternity miniature tu. Kalau ada hadiah dan dapat offer baik punya (dengan nada ala-Dafi), gerenti aku rembat punya…” Begitulah yang sentiasa aku idamkan. Barang mahal tak apa, asal harganya murah dan ada hadiah (ceeehh!).

Tetiba pada Jumaat lepas, aku dapat sebotol wangian Ferrari cenderahati masa hadiri acara PC Naza Group.

“Ini dah kira bagai pucuk dicita ulam mendatang,” bisik hatiku meronta-ronta kegembiraan. Apa tidaknya, orang mengantuk disorongkan bantal.


Mulai esok, aku nak guna wangian Ferrari Black Eau De Toilette ni. Kepada kekawan yang dah biasa dengan haruman CK aku tu (CK dah sebati dengan aku kerana guna sejak tahun 1990 lagi), harap maaf ya. Tukar ‘perisa’ sikit… bukannya apa, dah dapat free Ferrari (bukan Ferrero Rocher tau), tak kan nak simpan aja kot. Lainlah kalau ada yang sudi nak kasi CK Eternity kat aku. Maka kecil tapak tangan nyiru aku tadahkan!


Kalau ada yang sudi nak hadiahkan tu, sila jangan segan-segan beli yang botol besar ya?! Botol kecil tak main. Kekeke....

F1 Grand Prix Malaysia 2008

Kehangatan acara perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Sepang yang berlangsung pada 21 hingga 23 Mac 2008, amat terasa di mana-mana, terutamanya kepada yang gemarkan sukan tesebut. Bagi aku, bukannya pandai sangat pun! Tapi pada minggu lepas, banyak acara yang membabitkan sukan ini diadakan oleh para penaja F1. Antara yang aku hadiri ialah acara parti anjuran Honda (19 Mac 2008, The Curve, 5:30ptg) dan ORIS, jenama jam tangan mewah (21 Mac 2008, Pavilion KL, 3:30ptg)


Berikut adalah berita ringkas Grand Prix Formula Satu Malaysia Petronas 2008 yang aku petik dari Bernama:

KEHADIRAN TERBESAR PERLUMBAAN F1

Perlumbaan Formula Satu 2008 mencatatkan sejarah bagi Litar Sepang apabila 126,690 penonton hadir menyaksikan perlumbaan hari ini.


Pengurus Besar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Azmi Murad berkata jumlah keseluruhan penonton sepanjang tiga hari perlumbaan, bermula Jumaat lepas, adalah 172,382 orang.


"Ia satu rekod sejak litar ini pertama kali menganjurkan perlumbaan F1 Malaysia pada 1999," katanya.


Semasa sesi latihan pada Jumaat, sejumlah 12,748 penonton dicatatkan, pada Sabtu (32,944) dan Ahad (126,690).


Litar itu mempunyai 130,000 tempat duduk.



Setakat bawa kereta lumba F1 kat 'litar pegun' anjuran ORIS di Pavilion tu bolehlah.

ORIS menawarkan jam tangan mewah kepada pemenang terpantas dari media pada hari itu. Aku bawa selaju 2 minit dan ia melayakkan aku terkeluar daripada senarai top 10. Padan muka aku!

Saturday, March 22, 2008

"Test-Drive" Kamera Panasonic di Pulau Langkawi

Pada 6 hingga 7 Mac yang lalu, aku bersama-sama satu team rakan media daripada pelbagai penerbitan telah diundang oleh Panasonic Malaysia ke Pulau Langkawi. Kami dilayan umpama tetamu kehormat, walaupun hakikatnya matlamat ke pulau legenda itu bukan untuk bercuti tapi bekerja - iaitu 'test-drive' rangkaian camcorder dan kamera digital Panasonic. Antara produk keluaran yang sempat aku 'try-acu-cuba-test-drive' ialah camcorder SDR-SW20 dan kamera digital DMC-FX36 & DMC-Fs5.

Sudut pandangan luar The Andaman Langkawi. (janganlah jelous!)

Kami berkampung di The Andaman Langkawi, sebuah hotel yang sesungguhnya cantik yang tak terhingga. Tak caya, layari gerbang sesawang hotel ni.

Saja aku posing maut depan papan tanda The Andaman, sebagai bukti aku dah ke sana dan nak show-off kat member sekampung.
(
Foto dirakamkan mengguna kamera digital terbaru Panasonic Lumix FS5).


Bukan setakat tempat tinggalnya yang cun-melecun, malah hidangan siang dan malam - lazat hingga teringin jilat bukan setakat jari, tapi kalau boleh jilat sekali pinggan mangkuknya. Nak kontrol macho punya pasal, setakat jilat sudu garpu je lah akhirnya.

Seluar yang aku pakai tetiba menjadi ketat selepas menikmati hidangan ini.


Tapi sayang seribu kali sayang... penganjur yang mampu merancang, cuaca yang menentukan! Ini adalah kerana program yang sepatutnya berjalan lancar telah tercalar oleh keadaan cuaca yang tak menentu. Apa tidaknya... pada hari pertama, kami dijadualkan untuk snorkeling kat persisiran pantai berhampiran pulau di Datai Bay, tapi gerimis punya pasal, aku terpaksa pulang tanpa berpeluang mencuba camcorder SDR-SW20 yang mempunyai keunikan tersediri, iaitu berupaya untuk berfungsi walau terjatuh pada ketinggian 1.2 meter dan mampu merakam video dan foto pegun di dasar air sedalam 1.5 meter (tengoklah sendiri video di YouTube ini kalau tak caya).

Sengaja aku rendam lama-lama camcorder SDR-SW20 ni dalam air laut, namun ia tetap berfungsi macam biasa bila aku cuba buat rakaman selepas itu.

Walau bagaimana pun, mujurlah pada hari kedua aku sempat merakamkan aktiviti di kolam renang yang digayakan oleh model-model yang didatangkan khas untuk sesi fotografi itu (entah ada tak member Muslim yang tertinggal solat Jumaat akibat khusyuk merakamkan aksi yang agak sukar disiarkan dalam media perdana?!).

Camcorder SDR-SW20 tanpa aksesori sokongan berupaya beroperasi dalam air sehingga 1.5 meter.

Manakala pada hari kedua, kami dijadualkan untuk menaiki kereta kabel bagi menikmati panorama Pulau Langkawi dari sudut pandangan udara. Setiap orang dibekalkan seunit kamera digital model DMC-FX36 untuk merakamkan detik indah di cecelah awan. Model tersebut merupakan satu-satunya kamera digital yang didatangkan dengan keupayaan lensa ultra-wide-angle 25mm. Selain daripada mempunyai fungsi berteknologi iA (Intelligent Auto), ia juga dilengkapi dengan sokongan 4X zoom optikal, skrin LCD 2.5 inci dan 10.1 megapisel. Bukan main syok lagi jika berjaya rakam gambar ala-profesional dengan kamera digital amatur ini. Namun demikian, impian tinggal impian sahaja! Sekali lagi acara terpaksa dibatalkan ekoran angin kencang dan hujan yang sukar diramalkan. Maka, kami dilabuhkan di Telaga Harbour di Pantai Kok Langkawi. Bersama-sama dalam team media, rakan media aku dari Utusan Malaysia, Wan Shahara Ahmad Ghazali yang turut serta mencatatkan pengalaman beliau seperti yang di bawah ini.

(Petikan artikel dari sisipan SIGAP - Utusan Malaysia, 22 Mac 2008, "Suasana Mediterranean di marina Telaga Harbour" Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI)

PENGUNJUNG Telaga Harbour boleh menikmati sarapan pagi dengan aman di The Loft sambil menikmati pemandangan indah marina Langkawi. (Foto dirakamkan mengguna kamera digital terbaru Panasonic Lumix FX36.)


MASIH ingat lagi kepada Datuk Azhar Mansor? Pelayar solo negara yang telah mencipta rekod dunia dan kini bertanggungjawab membangun dan mengurus marina Telaga Harbour di Pantai Kok Langkawi.

Pada 1999, beliau telah mengambil masa 104 hari untuk mengelilingi dunia secara solo tanpa henti sejauh 21,600 batu nautika menaiki kapal layar Jalur Gemilang.

Kejayaan itu membolehkan Azhar diiktiraf oleh Majlis Rekod Pelayaran Pecut Dunia (WSSRC) secara rasminya sebagai pencipta rekod dunia. Ini kerana beliau menggunakan laluan Eastabout yang masih belum pernah dilayari secara solo sebelum itu.

Sebagai satu-satunya pelayar dari Asia (kecuali Jepun) yang berjaya menempuh cabaran itu tanpa bergantung kepada orang lain, beliau telah meletakkan Malaysia di atas peta maritim sekaligus menjadi seseorang yang dihormati di kalangan khalayak maritim.

Kejayaan itu juga telah mengangkat namanya sebagai warganegara tersohor yang telah merealisasikan semangat 'Malaysia Boleh', slogan yang dipopularkan sejak pertengahan tahun 1990-an.

Seorang pemandu pelancong pernah berkata, di sebalik kejayaan besar penjelajahan Azhar, masih ada pihak yang memperlekehkan beliau dengan menganggapnya hanya bersantai menaiki kapal layar pelancongan mewah.

Tapi sebenarnya, Jalur Gemilang hanyalah sebuah kapal layar yang agak kecil dan mudah dilambung ribut. Kini kapal itu berlabuh di tapak khas marina untuk tontonan orang ramai.

Menurut pemandu pelancong itu lagi, kapal kebanggaan Malaysia itu kini hanya digunakan semasa Azhar mengajar kelas pelayar muda atau untuk perjalanan jarak dekat sekitar Langkawi sahaja.

Marina Telaga Harbour terbahagi kepada dua bahagian iaitu Perdana Quay (sebutan kee) dan Petronas Quay. Perdana Quay adalah salah satu pintu masuk ke Malaysia yang menempatkan pejabat kastam dan imigresen.

Pelancong asing yang singgah ke Malaysia melalui jalan laut kini boleh terus masuk atau meninggalkan Malaysia dengan mudah tanpa perlu ke jeti utama.

Di Petronas Quay pula, terdapat bangunan dua tingkat yang berseni bina menarik yang menempatkan kemudahan penting seperti stesen minyak Petronas dan bank. Di sini, pengunjung juga boleh menjamu selera di restoran makanan segera sambil menghirup udara segar sambil menikmati pemandangan marina yang indah dari tingkat dua.

Walaupun masih baru, pangkalan kapal layar tersebut kini telah popular sebagai salah satu marina persinggahan utama kapal-kapal layar peribadi dari seluruh dunia selain diuar-uarkan oleh beberapa majalah gaya hidup antarabangsa sebagai marina terbaik Malaysia.

Kedudukannya di timur pulau utama Langkawi juga menjadikannya lokasi romantik popular bagi pemilik kapal layar menikmati matahari terbenam sambil berlayar.

Selain faktor kepelbagaian tarikan dan keindahan kepulauan Langkawi, faktor keselamatan juga menyebabkan teluk buatan ini popular di kalangan pemilik kapal.

Ia telah direka sedemikian rupa supaya kedudukannya terlindung daripada ombak besar yang telah sedikit sebanyak membantu mengurangkan kerosakan semasa bencana tsunami 2004 yang lalu.

Gunung Mat Chincang, lokasi ereta kabel paling mencabar Asia Tenggara pula melindungi marina itu dari angin kencang dari arah utara.


NOTA:

Model: DMC-FX36 Harga: RM1,299.

Model: DMC-FS5 Harga: RM1,099.

Model: SDR-SW20 Harga: RM1,599.

Maklumat ringkas pasal kesemua model camcorder dan kamera digital keluaran Panasonic juga ditulis oleh rakan media dari NST, Aimie Pardas, yang juga turut serta dalam rombangan ke Pulau Langkawi.

Lumix Baru Berteknologi iA

Petikan dari Megabait-Mingguan Malayisa 9 Mac 2008
OLEH MOHD. HAZLI HASSAN


JIKA Panasonic sebelum ini hanya hebat sebagai pengeluar peralatan elektrik konsumer, namun kini mereka lebih berani bersaing dengan pengeluar kamera utama global.


Dengan pelancaran jaringan kamera digital prosumer (DSC) Lumix, Panasonic dilihat ingin dan mampu bersaing secara global menandingi pembuat kamera utama dunia.

Lebih menarik, Panasonic bukan hanya mahu berada bersama-sama namun pengenalan sembilan model baru untuk tahun ini mampu menyebabkan pesaing terdekat berfikir panjang sebelum melancarkan kamera mereka secara global.

Pada Pertunjukan Perdagangan Persatuan Pemasaran Foto 2008 (PMA08) di Las Vegas, Amerika Syarikat bulan lepas, Panasonic berjaya membuat prapelancaran sembilan kamera DSC melalui model FX, FS, TZ, LZ dan FZ.

Yang uniknya kali ini, Panasonic berjaya bersaing dengan pengenalan beberapa ciri-ciri baru termasuk penggunaan pengesan gegaran MEGA O.I.S, pengesan pergerakan, pengesan muka, pengesan keadaan, pengesan cahaya, selain pengenalan lensa lebar bersaiz 25 milimeter, 28mm dan 30mm.

Mendahului pesaing dengan ciri-ciri terbaik ini, Panasonic mempertaruhkan FX35, FS20, FS5, FS3, TZ5, TZ4, LZ10, LZ8 dan FZ18 (semua nama model baru berlainan mengikut pasaran global) yang kini sudah berada di pasaran untuk menyaingi kamera prosumer lain yang sudah berada di pasaran.

Lebih menarik, kali ini, antara ciri-ciri yang paling utama dan belum berjaya ‘dicuri’ oleh pesaing terdekat ialah Auto Bijak (iA) yang bukan semata-mata penggunaan program auto sahaja.

Panasonic ketika memperkenalkan sistem itu kepada wartawan pada prapelancaran sebelum PMA08 berkata, program iA yang merangkumi kelima-lima ciri-ciri baru pengesan tadi mampu memberikan kebebasan kepada pengguna tanpa perlu berfikir panjang untuk merakamkan gambar.

Dan yang paling menarik, pengguna boleh menutup mata untuk merakamkan gambar menggunakan program iA dan jangan terkejut dengan hasil jaringan kamera Lumix yang turut dibantu dengan penggunaan lensa Leica – jenama lensa terkemuka dunia pada semua model.

Penggunaan Venus Engine IV juga meningkatkan sehingga 50 peratus kelebihan resolusi berbanding penggunaan Venus Engine III pada model terdahulu selain pengurangan sehingga 0.0005 saat sela masa pengatup.

Antara ciri-ciri menarik terbaru yang berjaya dibangunkan oleh Panasonic ialah pengesan cahaya di mana penggunaan ciri-ciri ini dijamin tidak lagi memberi kesan terlebih cahaya pada setiap rakaman.

Ini berikutan, pengesan cahaya dengan pendedahan bijak ini akan mengira jumlah cahaya kawasan yang gelap dan terang untuk memberi purata pendedahan sesuai.

Sistem

Malah, sistem ini juga akan mengawal dedahan jika cahaya belakang terlalu tinggi untuk tidak menghitamkan imej yang hendak dirakam.

Pengenalan lensa lebar pada sesetengah model juga memberi kelebihan kepada jaringan Lumix untuk berada sama paras dengan kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) tanpa batasan keluasan darjah memfokus.

Penulis yang diberi peluang menggunakan Lumix TZ5 (TZ15 untuk pasaran Asia) agak terpegun dengan kemampuan kamera selebar 103mm dengan berat 240 gram yang mempunyai zum optikal 10 kali.

Kemampuan dan prestasinya nyaris mengatasi kemampuan DSLR dengan penggunaan iA ketika dibawa mengelilingi kawasan Taman Negara Grand Canyon menggunakan helikopter.

Ternyata, tanpa memfokus dan secara bersahaja, program IA berjaya merakamkan keindahan salah satu lokasi tujuh keajaiban dunia itu.

Dapatkan maklumat lanjut mengenai model terbaru Lumix di www.panasonic.com.my/lumix.

Ruang Terbatas

Sudah berapa lama agaknya aku tak berceloteh kat dalam blog ni? Kalau nak diikutkan pada tarikh terakhir, dah hampir 100 hari.

Sebenarnya bukannya tak ada cerita yang nak dikongsikan, tapi tak berkesempatan atas desakan rutin tugasan dan batasan masa serta kengkangan memori laptop akibat terlampau banyak 'sampah' yang aku simpan dalam hard disk yang tak seberapa ini.

Oh ya... cerita pasal hard disk ni... baru-baru ini aku baru je beli satu external hand disk jenama Samsung dengan ruang memori sebesar 160 GB + casing Smart.Drive buatan Taiwan dengan harga RM270 kat Plaza Low Yatt. 'Sampah sarap' dalam hard disk telah aku abadikan dalam 2.5" external hard disk comel sebesar 141 x 80 x 15 (Panjang x Lebar x Tinggi).

Sementara RAM yang la ni berkapasiti 256MB ni akan kuminta company upgradekan kepada 1GB. Aku dah usha kat Plaza Low Yatt, harga pasang dan upgrade RAM 1 GB sekitar RM62 hingga RM68 saja. Bukannya mahal sangat pun....

Bila berkesempatan nanti, akan kuabadikan cerita2 menarik untuk tatapan kalian.

Saturday, December 15, 2007

Dua Watak dalam Dua Jam

ADEGAN PERTAMA
Lokasi: Neway Karaoke, 6:30 - 8:30 malam

Gambar di atas diambil pada 7 Dec 2007 jam 8:19 malam di Neway Karaoke bersama-sama rakan sekerja semasa sambutan parti x-mas anjuran tempat kerja aku. Kami 'sekeluarga' pakat-pakat menghiburkan diri dengan nyanyian, makanan dan memacam yang sewaktu dengannya. Aku sangat enjoy kerana berjaya untuk tidak menyanyi walau pun sepatah lagu. Dan lebih enjoy lagi kerana berjaya memboloskan diri daripada tapak karaoke sebelum acara kemuncak yakni tukar hadiah dan cabutan bertuah, iaitu sebelum jam 8:30 malam untuk ke acara yang lain... acara yang menuntut aku lebih bersopan.


ADEGAN KEDUA
Lokasi: Menara Dewan Bahasa & Pustaka, 9:00 - 11:30 malam

Gambar di atas diambil (dengan penuh bersopan santun di samping Profesor Rahman Shaari yang nampak sangat serius tapi peramah orangnya) pada 7 Dec 2007 jam 11:08 malam di Menara Dewan Pustaka & Bahasa sejurus selepas majlis meraikan penerima S.E.A. Write Awards 2007 - Prof. Rahman Shaari, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Pengembangan Bahasa dan Sastera Antarabangsa (BSA) dan Pusat Dokumentasi Melayu (PDM). Sekumpulan lebih 40 karyawan menyampaikan ucapan penghargaan melalui bacaan puisi. Aku juga turut diundang untuk menghadiri dan membaca sebuah puisi pilihan dalam Anjung Persinggahan karya penerima S.E.A Write Awards 2007 - Rahman Shaari di majlis tersebut. Tapi masa cemburu kat aku, ada peluang tapi tak ada ruang waktu untuk menunjukkan 'taring' aku.



Insaf Lebih Mahal daripada Merajuk


Marhaenee pun merajuk

katanya

kenapa abah tak beli

apa yang tadi Aenee pesankan

kenapa abah tak cari

apa yang kini Aenee harapkan?


Jawab abahnya:

anak,

manfaatkanlah apa yang ada

harapan tak semua tertunai

tujuan tak semua tercapai.


Abah memang ingati

apa yang kaupesankan

abah memang sedari

apa yang kauharapkan

tapi kemiskinan memaksaku menunduk

kau perlu memahami

insaf lebih mahal daripada merajuk

kau perlu mempelajari.


Dendang Merdeka


Dalam detik masa berlalu

berkatalah, mara!

cuma seruan yang mimpi kosong

dalam nada masih terkurung.

Apalah lantang suara itu

dari menara

kita merangkak pulang bermenung

kerana derita masih ditanggung

Mari rakanku!

kita merdeka sekali lagi

esok kita dendangkan

lagu jaya paling abadi.

Wednesday, December 5, 2007

Ilmu Membentuk Modal Insan Cemerlang

Tanggal 1 Disember 2007, mencatatkan detik yang paling indah dalam hidupku dalam bidang pendidikan kerana berjaya mendapat pengiktirafan anugerah Diploma Profesional Keusahawanan & Pengurusan Perniagaan (PDEBM) yang ditawarkan oleh UMCCed (Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya). Bersama seramai 23 orang para pelajar sekelas PDEBM11 yang lain, aku berjubah hitam menerima gulungan diploma dari Pengerusi Lembaga Pengarah UM bersama-sama lebih 600 graduan lain dalam pelbagai bidang pelajaran bertempat di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.


Univerisiti Malaya



Kebanggaan kita semua



Bertambah para ilmuan



Di pelbagai lapangan




Kami bertekad di hati



Mencapai cita murni



Tradisi kecemerlangan



Menepati wawasan



Di sini kami sedia berbakti

Terus berinovasi

Kami harapan generasi muka

Teras nusa dan bangsa



Varsiti kesayanganku

Sungguh banyak jasamu

Membentuk insan mulia

Berilmu berbudaya


LAGU : Shaharuddin Amin LIRIK : Habsah Hassan TARIKH : November 1999


Rakan-rakan PDEBM11 lain yang bersama-sama menimba ilmu dan turut menjadi sebahagian daripada modal insan cemerlang ialah:

Anuar Ibrahim
Aziah Kamsan
Doris Chong
Fisal Haji Mohamad
Hapizah Abd Rahman
Himah Haji Selamat
Ismail Talib
Jaafar Ismail
Johari Hamzah
Kamaruzzaman Omar
Krishnanmoorthy a/l T.Kandiah
Lye Boon Yau
Mazlan Md Shah
Ng Fook Yu
Nor Azlina Sabudin
Norisham Mohd Yusoff
Norulazali Haji Yusof
S. Leza Md Yasin
Sharudin Kamarudin
Teh Woan Jen
Vishalene a/p Panchatcharam
Wan Mazlina Safein @ Md Zain
Zuraini Che Emri @ Imbi